Siakap Keli
kes faisal halim
Kredit: Bernama

Kes Faisal Halim Diklasifikasikan Sebagai NFA – Peguam

Kes Faisal Halim Diklasifikasikan Sebagai NFA – Peguam

Kes serangan asid yang melibatkan bintang bola sepak negara, Faisal Halim telah diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ atau no further action (NFA), lapor Astro Awani.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh peguam Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha dalam satu sidang media hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyatakan tiada sebarang petunjuk untuk mengaitkan dengan mana-mana individu dan segala usaha tidak membuahkan hasil.

“Surat itu menyatakan bahawa polis tidak menemui sebarang petunjuk atau petunjuk yang boleh mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek kepada kes ini. Segala usaha yang dilakukan dalam hal ini tidak berjaya,” maklum peguam tersebut.

Nik Zarith memaklumkan pihaknya akan meneruskan perbincangan bersama anak guam bagi menentukan langkah-langkah seterusnya. Pihaknya juga tekad untuk memastikan kes anak guamnya mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya lagi, surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah dihantar pada 18 April lalu.

Terdahulu, pihak polis telah merakam kenyataan daripada 23 individu. Susulan itu, tiga suspek telah ditahan bagi menjalankan siasatan. Namun, tiada bukti yang dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek terhadap kejadian berkenaan.

5 Mei 2024, negara digemparkan dengan serangan asid terhadap pemain Selangor FC berkenaan ketika Faisal berada di sebuah pusat membeli belah. Berikutan kecederaan melecur tahap empat, Faisal terpaksa menjalani empat pembedahan sepanjang tempoh rawatannya.

Susulan kejadian berkenaan, Kelab Bola Sepak Selangor melancarkan kempen Stand With Faisal Halim bagi membanteras keganasan terhadap pemain bola sepak pada 8 Mei 2024. Menurut laporan Astro Awani, kempen tersebut tidak hanya mengetengahkan tentang sukan bola sepak, tetapi disifatkan berkaitan isu kemanusiaan.

Bangkit daripada diselubungi kegelapan, Faisal kembali beraksi pada 10 Ogos 2024 dengan menyarungkan jersi Selangor FC. Detik pemain sayap kebangsaan itu masuk bagi menggantikan Reziq Banihani mendapat tepukan gemuruh para peminat di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (SBPJ).

Sumber: Astro Awani (1) (2)

BACA: Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Petang Ini

BACA: 10 Barang Daiso Perlu Anda Miliki, Murah Tapi Sangat Berguna

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.