Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cadangan Pindaan Asing Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya Dimaklum Kepada Kabinet - JKPK

JKPK
Kredit: FB Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya memutuskan supaya cadangan pindaan terbaharu Perlembagaan Persekutuan berhubung reformasi itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Dalam kenyataan hari ini, JKPK memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar pembentangan dan maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai cadangan pindaan tersebut, susulan penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-270.

“JKPK telah meneliti cadangan pindaan yang dikemukakan oleh AGC, khususnya bagi memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh MRR diberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh kerangka perundangan bagi pelaksanaan reformasi ini, selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara teliti serta berlandaskan Perlembagaan bagi memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut hadir Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, William Leong Jee Keen (Selayang), Syahredzan Johan (Bangi), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Sementara itu, Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Datuk Lo Su Fui (Tawau) dan Roy Angau Gingkoi (Lubok Antu) tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Intipati
  • JKPK memutuskan cadangan pindaan terbaharu Perlembagaan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
  • Keputusan dibuat selepas pembentangan AGC mengenai perkara dibangkitkan Majlis Raja-Raja ke-270.
  • Jawatankuasa menegaskan reformasi perlu dilaksana teliti, berlandaskan Perlembagaan dan prinsip Raja Berperlembagaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan