Siakap Keli
thailand kes covid
Kredit: National Health Security Office

Thailand Catat Lebih 41,000 Kes Covid-19, Dijangka Akan Meningkat Pada Musim Hujan

Thailand Catat Lebih 41,000 Kes Covid-19, Dijangka Akan Meningkat Pada Musim Hujan

Nonthaburi – Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand menjangkakan jangkitan Covid-19 di negara tersebut berkemungkinan meningkat berikutan musim hujan dan pembukaan sekolah yang bakal tiba.

Menurut laporan The Nation, Ketua Pengarah DDC, Dr Panumas Yanwetsakul mendedahkan sebanyak 7,013 kes berkaitan Covid-19 dilaporkan dari 4 hingga 8 Mei lalu. Satu angka kematian turut direkodkan.

Kadar jangkitan tertinggi didapati dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah empat tahun. Jumlah ini diikuti oleh mangsa jangkitan berumur 30 hingga 39 tahun, yang kemudiannya diikuti oleh golongan berusia 20 hingga 29 tahun. Kematian yang dilaporkan melibatkan seorang warga emas berusia lebih 60 tahun.

Tambahnya, Thailand mencatatkan 41,197 kes Covid-19 dengan 15 kematian dilaporkan sejak 1 Januari hingga 8 Mei.

Menurutnya lagi, pemantauan epidemiologi menunjukkan penularan Covid-19 masih berterusan, malah perhimpunan besar serta perubahan musim memainkan peranan penting dalam penularan ini.

Katanya lagi, kes cenderung meningkat pada musim hujan walaupun data mingguan terkini menunjukkan sedikit penurunan.

Dalam pada itu, kes influenza di Thailand sepanjang 1 Januari hingga 8 Mei mencatatkan angka 322,991 kes dengan 43 kes kematian. Kes jangkitan dilaporkan meningkat ketika sambutan Perayaan Songkran pada 13 hingga 26 April namun, terdapat penurunan kes selepas perayaan berkenaan tamat.

Jangkitan influenza didapati tertinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, diikuti kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah serta 10 hingga 14 tahun.

Susulan itu, Pranumas menegaskan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini di tahap yang sederhana dan selari dengan jangkaan pihaknya. Ia berikutan penyakit tersebut yang sudah dianggap endemik dan mudah ditemui sepanjang tahun.

Pihaknya menjangkakan peningkatan ketara dapat dilihat selepas sambutan Perayaan Songkran yang berterusan dengan kehadiran musim hujan. Malah, peningkatan juga dijangka berlaku apabila musim persekolahan bermula.

Berikutan itu, beliau menggesa orang awam agar mengikut langkah-langkah pencegahan Covid-19 dan influenza terutamanya ketika berada di kawasan sesak atau tertutup. Orang ramai juga dinasihat agar mengelakkan hubungan rapat dengan individu yang mempunyai gejala pernafasan.

“Jika anda berada di luar, anda berisiko membawa pulang virus itu ke rumah. Ambil langkah untuk melindungi diri anda terutamanya dalam mengelak dari pendedahan jangkitan terhadap individu berisiko. Kebanyakan kematian berlaku dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang tidak diketahui,” katanya.

Sumber: The Nation

BACA: Mayat Bayi Ditemukan Terapung Di Sungai Belakang Restoran

BACA: Tumor Sebesar Kepala, Adik Hafizur Perlu Bantuan Jalani Pembedahan

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.