Kemalangan Lori FRU Imbas Duka Tragedi Karak 35 Tahun Lalu
Hari ini, negara dikejutkan dengan berita duka pemergian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akibat kemalangan jalan raya. Kemalangan yang melibatkan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan itu melibatkan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh.
Siapa sangka, tragedi seperti ini pernah berlaku kira-kira 35 tahun lalu di Kilometer (KM) 31 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang. Tragedi pada tanggal 28 Februari 1990 itu mengorbankan seramai 11 anggota FRU dari Pusat Lathian Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Perjalanan yang pada awalnya dijadualkan untuk tiba di Kuala Terengganu bagi menjalani latihan masa itu terhenti apabila Trup 4B dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan. Kejadian tersebut melibatkan 12 buah kenderaan serta mengorbankan nyawa empat orang awam.
Berdasarkan siasatan, kejadian tersebut berpunca daripada masalah brek bas berkenaan. Berikutan itu, pemandu gagal mengawal kenderaan tersebut ketika menuruni bukit mengakibatkan bas berkenaan terbabas dan merempuh dua buah kereta sebelum bertembung trak FRU.
Tidak hanya terperosok ke bawah bas, trak FRU tersebut turut dirempuh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak.
Menyayat hati, lima anggota FRU didapati maut di tempat kejadian manakala enam lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat cedera parah.
Kesemua mangsa tragedi dikenal pasti sebagai Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim, Lans Koperal Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd Lazim Admin, Konstabel Abd Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd Razali Bidin, Konstabel Mohd Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong.
Untuk pengetahuan pembaca, Tun Mahathir yang ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Keempat telah mengarahkan para pemandu kenderaan berat supaya menjalani latihan menghadapi keadaan kecemasan. Latihan ini penting bagi mengelakkan kemalangan seperti nahas FRU ini berulang.
Semoga kesemua mangsa yang terkorban di dalam dua kemalangan ini ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Salam takziah kepada semua keluarga mangsa, semoga tabah menghadapi ujian ini.
Sumber: Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia, Arkib Bernama
BACA: Kemalangan FRU: Masalah Stereng Lori Batu Dipercayai Punca Insiden
BACA: Kemalangan Lori FRU: Angka Kematian Meningkat Sembilan Orang