Agong Kurniakan Bot Berteknologi Tinggi Kepada Pasukan Keselamatan
JOHOR BAHRU — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Mersing bagi memandu uji bot selam baharu yang direka khas oleh Seri Paduka Baginda.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, reka bentuk serta spesifikasi bot itu merupakan hasil ilham serta kepakaran Seri Paduka Baginda.
“Reka bentuk serta spesifikasi bot selam ini adalah hasil ilham serta kepakaran Seri Paduka Baginda yang berpengalaman luas di dalam ilmu kelautan serta hasil pelbagai latihan ketenteraan yang dilalui Sultan Ibrahim,” maklum kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda sebelum ini mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi dinamakan sebagai Ibrahim Class IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Mac lalu.
Bot berkenaan yang direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi mampu beroperasi dalam perairan tropika.
“Sultan Ibrahim turut mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang Mac lalu.
“Pada November 2020, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sebuah bot laju IMG yang berkelengkapan penuh kepada Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertugas di Wilayah 2 dengan enjin berkapasiti 900 kuasa kuda bagi penugasan PPM di kepulauan serta perairan Mersing.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan bot Rigid Inflatable Boat (RIB) Tornado kepada 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) pada tahun 2021,” tulis kenyataan itu lagi.
Difahamkan, pengurniaan bot bernilai RM1.2 juta dengan enjin berkapasiti 600 kuasa kuda itu adalah bertujuan untuk membantu 21 GGK dalam melaksanakan penugasan dan tanggungjawab mereka.
Pengurniaan Seri Paduka Baginda itu mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan pasukan berkuasa dalam mengekang ancaman di laut.
Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar