Lokasi Hotel Jemaah Haji 2025 Di Madinah & Mekah
Menerima panggilan menunaikan haji membuatkan setiap jiwa melonjak gembira. Bukan hanya individu yang ditakdirkan menunaikan Rukun Islam kelima ini, malah ahli keluarga, jiran tetangga turut memanjatkan kesyukuran atas berita gembira ini.
Segala persiapan dilakukan, termasuk keperluan tambahan bagi memudahkan perjalanan menunaikan ibadah. Bagi yang berkemampuan, jam tangan pintar dihadiahkan kepada ahli keluarga supaya setiap lokasi dapat diketahui.
Bagi yang tidak berkemampuan pula, jangan khuatir. Terdapat beberapa pihak yang sentiasa mengemas kini maklumat dan lokasi terkini jemaah haji, termasuk media dan Tabung Haji sendiri.
Tahun ini, Tabung Haji telah mengeluarkan senarai hotel sebagai tempat penginapan jemaah haji di Madinah dan Mekah. Jemaah haji disarankan menyimpan senarai ini sebagai rujukan ketika berada di Tanah Suci. Begitu juga waris yang berada di Malaysia agar lokasi ahli keluarga dapat diketahui sepanjang masa.
Berikut SK kongsikan senarai terbaru lokasi hotel penginapan jemaah haji 2025.
Lokasi hotel jemaah haji di Madinah
Ketika berada di Madinah, jemaah haji ditempatkan di tiga kawasan utama iaitu Ibu Pejabat Tabung Haji Madinah yang berada di Roha Al-Madinah.
Selain itu penginapan jemaah haji juga ditempatkan di kawasan Markaziyah meliputi Zon A dan Zon B. Bagi jemaah haji yang ditempatkan di Zon A, mereka menginap di Anwar Al-Madinah Movenpick dan Saja Al-Madinah. Manakala Di Zon B, mereka menginap di Emaar Royal.
Lokasi hotel jemaah haji di Mekah
Di Mekah pula, penginapan jemaah haji di Mekah terbahagi kepada tiga iaitu Zon A, B dan C. Zon A berada di kawasan Shuib Amir atau Sulaimaniyyah dengan dua lokasi iaitu Abraj Al-Janadriyah dan Qasr Al-Janadriyah. Bagi Zon B pula, jemaah bakal ditempatkan di kawasan Hafaer iaitu Rehab Al-Janadriyah, Diary Al-Saad dan yang terbaru, Abraj Al Tayseer. Manakala di Zon C, jemaah haji akan berada di kawasan Misfalah, yang turut meliputi dua lokasi iaitu Al-Fajr Al-Badee 5 dan Land Premium.

Sebagai pengetahuan, setiap tempat penginapan ini dilengkapi kemudahan seperti klinik kesihatan, kaunter perkhidmatan pelanggan dan kaunter bimbingan ibadah. Begitu juga kaunter pengeluaran wang, kemudahan dobi dan kedai runcit.
Tahun ini, Tabung Haji menempatkan sekumpulan jemaah haji di Abraj Al Tayseer yang mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU). Hotel ini juga terletak kira-kira satu kilometer sahaja daripada dataran Masjidil Haram.
Sumber: Muhd Akmal Shamsudin, Bernama, Skyscanner
BACA: Angin Pantai Dijual Dalam Beg Kuning, Pelik Tapi 13 Orang Dah Beli
BACA: Bukan Sekadar Media, Ini Laluan Kerjaya Untuk Graduan Komunikasi Massa