Mechamato Nombor 1 Di Platform Penstriman China Lepas 72 Jam Ditayangkan
Mechamato mencipta sejarah apabila mendapat tempat pertama dalam dua kategori selepas ditayangkan selama 72 jam di platform penstriman video paling popular di China, Youku. Berita gembira ini disampaikan menerusi laman Facebook rasmi animasi berkenaan pagi tadi.
Siri animasi tempatan ini berjaya meraih tontonan tertinggi bagi genre Kegemaran Budak Lelaki (Boys’ Favourite) dan Mecha.
“Mechamato menembusi Carta Teratas China. Dalam masa 72 jam sahaja, siri animasi Malaysia telah mendapat tempat nombor satu dalam kategori Kegemaran Budak Lelaki dan Mecha di Youku,” maklum Monsta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, animasi berkenaan turut mendapat tempat kedua bagi Carta Teratas Pengembaraan Penuh Bersemangat (Hot-Blood Adventure) serta tempat ketiga bagi kategori Rancangan Baru Ditayangkan secara Keseluruhan dalam tempoh tersebut.
Terdahulu, Mechamato mula menembusi pasaran hiburan China itu dengan tayangan 26 episod daripada siri penuh animasi berkenaan, lapor Bernama.
Nizam berkata, pencapaian menayangkan siri animasi ini di Youku menandakan satu lagi detik bersejarah buat syarikat tersebut. Detik ini juga menandakan simbol kemajuan industri animasi Malaysia apabila berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Kami amat teruja kerana Mechamato bakal menemui penonton di China melalui kerjasama strategik bersama Youku.
“Kerjasama ini bukan sahaja merangkumi penyiaran tetapi turut membuka peluang luas dalam aspek pelesenan dan perdagangan. Ini satu langkah besar untuk melonjakkan jenama kami ke peringkat lebih tinggi, dan MONSTA percaya hubungan erat dengan rakan kongsi di China mampu membuka laluan baharu untuk pengukuhan pasaran di rantau Asia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz turut menyifatkan animasi ini sebagai contoh terbaik dalam menonjolkan keupayaan Malaysia menarik perhatian global menerusi penghasilan kandungan digital bertaraf dunia.
Tidak hanya di China, nama Mechamato juga pernah berlegar dalam kalangan pemain industri hiburan Jepun apabila meraih tempat pertama bagi Anugerah Anime Fan Award di Tokyo Anime Award Festival 2023.
Sumber: Mechamato Monsta, Nizam Abd Razak, Bernama
BACA: Ada Kenjiro Tsuda, Mechamato Movie Versi Jepun Bakal Tayang Di Malaysia