Hampir 10 Tahun Buat Video, “Outdoor Boys” Ucap Selamat Tinggal
Outdoor Boys, saluran Youtube yang terkenal dengan kandungan berbentuk kemahiran hidup dan cabaran alam kini mengucapkan selamat tinggal kepada lebih 15 juta pengikutnya.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh individu di sebalik akaun berkenaan, Luke Nichols menerusi satu video berdurasi 5 minit yang dimuat naik di Youtube berkenaan.
“Hai semua, ini akan menjadi video terakhir daripada saya untuk seketika. Saya telah pun menghasilkan video untuk tempoh hampir 11 tahun. Kali pertama menerusi saluran Catfish and Carp dan hari ini dengan saluran Outdoor Boys,” kata Luke.
Menurutnya, dalam tempoh berkenaan dia sudah pun menghasilkan lebih 1,110 kandungan video dan mendapat jumlah tontonan yang sangat tinggi.
Terkenal dengan kandungan survival skills, Outdoors Boys ucap selamat tinggal
Luke kemudian berkongsi lebih lanjut berkenaan keputusannya untuk mengucapkan selamat tinggal buat kepada dunia yang sudah dia bersama selama satu dekad.
Katanya, dia bersyukur selama ini dia mampu menyara keluarga dan mengisi masa berkualiti bersama isteri serta anak-anak sepanjang menghasilkan kandungan untuk saluran Outdoor Boys.
“Namun, ada masanya semua benda baik ini boleh menjadi keterlaluan dan berlebihan. Saya fikir, saya sedang menghampiri ke titik tersebut.
“Saya tidak bercakap tentang masa dan tenaga yang saya perlu beri kepada Outdoor Boys, tetapi tentang perhatian yang saya serta keluarga dapat daripada saluran ini.
“Untuk tempoh 12 bulan lepas, Outdoor Boys menambah seramai 12 juta pengikut dan mendapat 2.8 bilion tontonan.
“Pada masa yang sama, ada juga individu bertindak mencuri kandungan saya dan memuat naik di saluran lain menyebabkan saya serta keluarga saya ‘ditonton’ lebih 4 bilion kali.
Mahu fokus kepada anak-anak dan keluarga
“Perhatian yang kami dapat daripada peminat yang menghubungi kami, mahu bergambar, mahu bercakap dan sebagainya agak berlebihan buat masa ini.
“Saya dan isteri memandang serius perkara tersebut, bimbang dengan apa yang boleh berlaku kepada keluarga kami jika Youtube saya terus berkembang di masa depan.
“Jadi, kami fikir lebih baik kami berhenti sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan mengganggu kehidupan normal kami sekeluarga.
Kata Luke, dia masih menikmati aktiviti luar dan menghasilkan video, tetapi kini mahu memberi fokus kepada perkara lain.
Antaranya dia akan menghabiskan masa bersama anak-anak termasuk membantu anak sulungnya, Tom mengembangkan saluran Youtube sendiri.
“Selama ini, saya menghabiskan banyak masa untuk diri sendiri dan mengembangkan perniagaan. Kini, tiba masanya untuk saya memberi fokus kepada anak-anak yang akan menjadi dewasa tidak lama lagi,” katanya.
Pada masa yang sama, Luke memberitahu dia akan memuat naik semua video yang masih belum disiapkan untuk tontonan para pengikutnya pada hujung tahun ini.
“Apa pun, video ini akan menjadi video terakhir daripada saya buat sementara waktu. Sehingga berjumpa lagi.”
BACA: Dunia ‘Hilang’ 10 Hari Pada Oktober 1582
Sumber: Outdoor Boys