Dunia ‘Hilang’ 10 Hari Pada Oktober 1582
Bayangkan tidur pada malam 4 Oktober, dan apabila bangun keesokan harinya, tarikh telah melonjak ke 15 Oktober.
Bunyi seperti kisah fiksyen, tetapi hakikatnya, ia benar-benar berlaku pada tahun 1582, hanya kerana manusia mahu “membetulkan masa”.
Masalah kecil yang menjadi besar
Kalendar Julian, yang diperkenalkan oleh Julius Caesar pada tahun 45 Sebelum Masihi, digunakan secara meluas di dunia Kristian selama lebih seribu tahun.
Bagaimanapun, sama seperti kalendar Rom purba, ia memiliki titik kelemahan apabila melebihi tahun tropika (tempoh sebenar Bumi mengelilingi matahari) sebanyak 11 minit dan 14 saat setiap tahun.
Kesalahan kecil ini nampak remeh, tetapi apabila dikumpulkan selama berabad-abad, ia menyebabkan tarikh kalendar semakin lari daripada kedudukan sebenar matahari.
Hasilnya, setiap 314 tahun, kalendar Julian berganjak kira-kira satu hari.
Hal ini menyukarkan gereja untuk menentukan tarikh sebenar bagi perayaan penting seperti Easter.
Perayaan tersebut sepatutnya jatuh pada Ahad pertama selepas bulan penuh pertama selepas ekuinoks musim bunga, iaitu sekitar 21 Mac.
Seawal abad ke-8 Masihi, perbezaan antara tarikh ekuinoks sebenar dan yang ditetapkan dalam kalendar mula dikesan.
Walaupun pelbagai cadangan telah dikemukakan kepada para Paus sepanjang Zaman Pertengahan, tiada tindakan diambil secara rasmi.
Kalendar Julian terus kekal sebagai kalendar rasmi dunia Kristian meskipun jelas terdapat kesilapan.
Segalanya berubah pada Konsili Trent (1562–1563), apabila satu dekri diluluskan agar Paus memperbaiki sistem kalendar tersebut.
Namun, ia mengambil masa hampir dua dekad sebelum penyelesaian yang sesuai diketengahkan.
Lahirnya Kalendar Gregory
Akhirnya, pada Februari 1582, Paus Gregory XIII menandatangani satu “papal bull” (dekri kepausan) yang memperkenalkan kalendar baharu.
Kalendar ini berasaskan cadangan saintis Itali, Luigi Lilio, dengan pengubahsuaian oleh ahli matematik dan ahli astronomi Jesuit, Christopher Clavius.
Reformasi ini bukan sekadar membetulkan kiraan tahun, tetapi turut memperkenalkan pembetulan praktikal.
Sepuluh hari (5-14 Oktober 1582) dibuang daripada kalendar untuk menyelaraskan semula ekuinoks musim bunga kepada 21 Mac.
Difahamkan, gereja memilih bulan Oktober untuk mengelakkan gangguan terhadap perayaan utama Kristian seperti Krismas dan Easter.
Reaksi dunia
Namun, peralihan kepada kalendar baharu bukanlah sesuatu yang diterima bulat-bulat. Negara-negara Protestan dan Ortodoks enggan menerima arahan daripada Paus dan terus menggunakan Kalendar Julian.
Hasilnya, benua Eropah menjadi terpecah dari segi masa, di mana sesetengah negara ‘berada’ depuluh hari ke hadapan berbanding jiran mereka.
Selain itu, fenomena ini turut mencetuskan kekeliruan rentas sempadan.
Bagaimanapun, lama-kelamaan, negara-negara bukan Katolik turut mengikut jejak dan menerima Kalendar Gregory.
Wilayah Protestan Jerman dan Belanda menukar kalendar mereka pada abad ke-17.
Britain dan jajahan takluknya, termasuk Amerika Syarikat (AS), hanya membuat peralihan pada tahun 1752, dan membuang 11 hari (2-14 September) daripada kalendar mereka.
Menjelang abad ke-20, hampir seluruh dunia telah mengadaptasi Kalendar Gregory, yang kini menjadi sistem kalendar antarabangsa yang digunakan secara rasmi hingga ke hari ini.
BACA: Anak ‘Pergi’ Dalam Tidur, Ibu Bapa Datang Kolej Bawa Pulang Barang Arwah
BACA: Kematian Dicemburui, Jemaah Haji Johor Meninggal Dunia Dalam Ihram
BACA: Lelaki Indonesia Kongsi Pernah Kerja Warung Sate Sebelum Rangkul PhD Di Malaysia
Sumber: Britannica