Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang jemaah haji dari Indonesia yang sebelum ini dilaporkan hilang di Mekah telah ditemui meninggal dunia pada Jumaat.
Berita duka mengenai kematian Mohammad Firdaus, 72, disampaikan oleh Ketua Biro Perhubungan Awam Kementerian Haji dan Umrah Indonesia, Moh Hasan Afandi.
"Firdaus ditemui meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan keampunan kepada arwah dan mengurniakan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan," katanya.
Allahyarham ditemui oleh tentera Arab Saudi yang sedang meronda sekitar jam 2 pagi pada Jumaat.
Difahamkan, lokasi penemuan itu berada di sekitar Jabal Kudai dan sekitar 1.5 hingga 2 kilometer dari penginapan.
Jenazah warga emas itu kemudiaannya diserahkan kepada polis Arab Saudi dan pasukan forensik.
Dokumen forensik menunjukkan bahawa mayat itu sepadan dengan ciri-ciri Allahyarham, yang sebelum ini telah meninggalkan penginapannya di Sektor 9 Misfalah, Mekah pada 15 Mei lalu.
Laporan penemuan itu telah dihantar kepada Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Jeddah.
Ketua Bahagian Perlindungan Jemaah (Linjam) Jawatankuasa Penyelenggaraan Haji Arab Saudi (PPIH), Muftiono berkata bahawa Firdaus disyaki telah meninggal dunia selama empat hingga lima hari berdasarkan keadaan mayatnya.
Pakaian yang dipakainya dan gelang pengenalan masih ada pada mayat.
Selain itu, cuaca panas juga telah menyebabkan mayat Allahyarham berubah warna.

"Bagaimanapun, mayat masih berada dalam keadaan baik dan boleh dikenal pasti," katanya.
Isteri Allahyarham juga telah melakukan pengecaman dan mengesahkan bahawa mayat itu merupakan Firdaus.
Dalam pada itu, Hasan merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga Firdaus, KJRI, pihak berkuasa Arab Saudi dan hospital Arab Saudi, serta pegawai haji yang menjalankan pencarian.
"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Indonesia yang telah mendoakan kami semasa proses pencarian," ujarnya lagi.
Beliau juga menggesa semua jemaah untuk saling mengambil berat antara satu sama lain.
"Jika anda melihat jemaah lain berjalan bersendirian, kelihatan keliru atau keletihan, anda harus menyambut mereka dan menawarkan bantuan, terutamanya untuk jemaah warga emas, wanita dan orang kurang upaya.
"Serahkannya kepada petugas haji yang hadir untuk mengiringi, melayani dan melindungi para jemaah selama di Tanah Suci," tambahnya.