Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selepas 14 Hari Hilang Di Hutan, Pelukan Anak Jaslinda Buat Ramai Sebak
Tiada apa yang lebih menenangkan hati seorang anak selain melihat ibu atau ayah berada dalam keadaan selamat.
Namun, bayangkan jika insan yang paling disayangi itu tiba-tiba hilang tanpa khabar berita selama berhari-hari. Pasti setiap saat dipenuhi rasa risau, takut dan pelbagai persoalan yang bermain di fikiran.
Begitulah perasaan yang dirasai keluarga pendaki wanita, Jaslinda, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih.
Selepas dua minggu yang penuh debaran, penantian keluarga akhirnya terjawab. Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat.
Dalam video yang kini tular, kelihatan anak-anak Jaslinda berlari mendapatkan ibu mereka sebelum memeluknya erat.
Mendengar panggilan "Mama..." yang keluar dari mulut anak-anaknya sambil memeluk erat tubuh wanita itu benar-benar meruntun hati ramai.
Jelas terpancar kerinduan yang dipendam selama berhari-hari.
Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan seorang anak yang akhirnya dapat melihat dan memeluk semula ibunya.
Kebelakangan ini, kes kehilangan Jaslinda di Gunung Batu Putih menjadi antara perhatian utama rakyat Malaysia.
Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di kawasan berkenaan pada 24 Mei lalu.
Sejak kehilangan beliau dilaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar digerakkan. Ia melibatkan pelbagai agensi keselamatan, pasukan penyelamat serta sukarelawan.
Setiap perkembangan operasi terus diikuti orang ramai yang berharap mangsa dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
Harapan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Jaslinda ditemukan selamat oleh sekumpulan penduduk Orang Asli di kawasan hutan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu kira-kira jam 5 petang semalam.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari kawasan hutan sebelum menerima rawatan lanjut.
Berita penemuan itu disambut dengan rasa syukur oleh ramai pihak yang sejak awal mengikuti perkembangan operasi berkenaan.
Untuk rekod, Jaslinda menyertai pendakian bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman.
Pendakian tersebut bermula pada jam 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan ketika pendakian berlangsung.
Bagaimanapun, eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.