Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

PBT Diarah Hentikan, Sita Semua Iklan Vape – Kerajaan Negeri Selangor

PBT Diarah Hentikan, Sita Semua Iklan Vape – Kerajaan Negeri Selangor

Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan dan menyita serta-merta semua bentuk iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape, sama ada yang dipaparkan di medium fizikal mahupun digital.

Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai larangan penjualan vape diambil, satu lagi mesyuarat lanjutan akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan pilihan dasar yang sesuai sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Mengulas lanjut, beliau berkata, mesyuarat tersebut bakal membincangkan pelbagai isu membabitkan penggunaan dan penjualan vape, termasuk aspek penguatkuasaan, pelesenan, perundangan serta pemantauan, terutamanya penjualan dalam talian yang sukar dikawal.

Untuk info, beliau memaklumkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang turut disertai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin; wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD); serta wakil-wakil pihak berkuasa tempatan (PBT).

BACA: MAS, AirAsia Kemas Kini Format Nama Penumpang Bagi Tempahan Tiket Penerbangan

Sementara itu, tindakan menyita iklan vape oleh PBT di Selangor dilakukan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan produk merokok elektronik.

Langkah tegas ini adalah susulan daripada kenyataan awal Exco berkenaan yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas bersama Pejabat Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), serta agensi kerajaan Persekutuan bagi meneliti keperluan pengharaman penjualan vape.

Jamaliah turut menegaskan bahawa lesen perniagaan di peringkat negeri tidak membenarkan penjualan rokok elektronik atau cecair vape, sebaliknya hanya merangkumi peralatan elektronik secara umum.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyeru kerjasama ibu bapa, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil serta semua agensi kerajaan di pelbagai peringkat untuk berganding bahu menjayakan langkah ini secara berkesan dan mampan.

Lapor Astro Awani, penggunaan vape dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Laporan NHMS 2022 mendapati bahawa hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur antara 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape.

BACA: Mat Saleh Sekeluarga Pandai Cakap Melayu, Curi Tumpuan Ramai

BACA: Top 10 Mata Wang Paling Bernilai Di Dunia 2025

Sumber: Astro Awani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.