Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) RM150 Sebulan: Syarat dan Cara Mohon
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menunjukkan komitmen dalam menyokong kebajikan pendidikan anak-anak istimewa dengan menyediakan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK).
Inisiatif ini diwujudkan sejak tahun 2005 bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Iaitu mereka yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan memiliki kad OKU sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Siapakah yang Layak Menerima EMBPK?
Elaun ini terbuka kepada murid-murid OKU yang memenuhi syarat-syarat berikut:
- Hanya murid yang berstatus warganegara sahaja layak memohon.
- Murid tersebut perlu memiliki kad pengesahan OKU yang sah daripada JKM.
- Murid perlu bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK) atau Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), dari peringkat prasekolah hingga ke Tingkatan 6. Ia turut merangkumi pelajar Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi, serta MBPK yang mengikuti program di Institut Latihan Kemahiran Awam atau Swasta yang dibiayai sepenuhnya oleh KPM.
- Penerima bantuan ini tidak boleh menerima sebarang bentuk biasiswa atau bantuan kewangan lain dari mana-mana agensi kerajaan atau swasta, kecuali bagi MBPK di kolej matrikulasi yang mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP).
- Murid perlu mempunyai kehadiran ke sekolah sekurang-kurangnya 80% dalam tempoh sebulan.
Bermula 20 September 2019, EMBPK turut diperluas kepada kanak-kanak autisme yang menjalani intervensi awal di Pusat Kecemerlangan PERMATA Kurnia.
Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan sokongan pendidikan menyeluruh kepada semua kategori anak istimewa.
Jumlah Bantuan dan Kaedah Pembayaran
Setiap murid yang layak akan menerima RM150 sebulan. Menjadikan jumlah tahunan sebanyak RM1,800 tertakluk kepada jumlah bulan kelayakan bagi tahun tersebut. Pembayaran akan disalurkan oleh KPM kepada Bahagian Pendidikan Khas dan PERMATA sebelum diagihkan kepada akaun sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri. Pihak sekolah atau Bahagian PERMATA akan menguruskan pemindahan elaun terus ke akaun bank murid.
Langkah Permohonan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK)
Bagi ibu bapa atau penjaga yang ingin memohon elaun ini, berikut adalah proses permohonannya:
1. Dapatkan borang permohonan
Borang boleh diperoleh daripada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
2. Isi borang dan lampirkan dokumen sokongan
Pemohon perlu mengisi borang dengan lengkap dan menyertakan salinan dokumen seperti kad pengenalan murid dan ibu bapa/penjaga, kad OKU, buku akaun bank murid, dan surat pengesahan kehadiran sekolah.
3. Hantar kepada pihak sekolah
Serahkan borang lengkap beserta dokumen kepada sekolah untuk disemak dan dihantar kepada pihak KPM untuk kelulusan.
4. Tunggu kelulusan dan pembayaran
Setelah diluluskan, elaun akan dimasukkan ke dalam akaun bank murid secara berkala mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan.
Kepentingan EMBPK kepada murid dan Keluarga
Elaun ini bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan harian, malah ianya dapat membantu untuk menampung kos tambahan yang berkaitan dengan keperluan pembelajaran khas seperti alat bantu mengajar, terapi, dan sesi intervensi.
Di samping itu, bantuan ini turut memberi galakan kepada murid untuk hadir ke sekolah secara konsisten. Seterusnya dapat menyokong perkembangan pendidikan serta sosial mereka dalam jangka masa panjang.
Semakan Status Pembayaran
Sekiranya ingin mengetahui status pembayaran EMBPK, ibu bapa boleh terus merujuk kepada pihak sekolah masing-masing. Untuk sebarang isu atau kelewatan, bantuan lanjut boleh diperoleh melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berdekatan.
Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan prihatin terhadap keperluan anak-anak istimewa dalam sistem pendidikan negara.
Bantuan ini diharap dapat memberi sinar dan semangat kepada murid serta keluarga untuk terus maju dalam bidang akademik dan kehidupan.
Sumber : moe.gov
BACA : Tip Cuci Baju Putih Guna Mesin Basuh, Tapi Kekal Cerah
BACA : Rahsia, Cara Kereta Kekal Wangi & Bersih Walau Ada Anak Kecil