Nurul Izzah Tewaskan Rafizi, Sandang Jawatan Timbalan Presiden PKR
Nurul Izzah Anwar berjaya menewaskan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mendapat 9,803 undi.
Keputusan pemilihan bagi jawatan sesi 2025-2028 tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Kongres Nasional 2024/2025 yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada sebentar tadi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden. Kepimpinan sesi kali ini menyaksikan wajah baru, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Ramanan Ramakrishnan sebagai Naib Presiden parti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula mengalahkan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail bagi jawatan Ketua Wanita PKR dengan 2,890 undi. Manakala bagi Timbalan Ketua Wanita, Juwairiya Zulkifli mendahului dengan 2,760 undi.
Menurut Bernama, proses pemilihan kali ini melibatkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian bermula jam 8 pagi tadi hingga 5 petang.
Hadir bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti merasmikan kongres berkenaan. Kongres tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti.
Antara yang menghadiri kongres tersebut termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Sabah (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Meninjau pemilihan peringkat Cabang baru-baru ini, Nurul Izzah, 44, berjaya mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh.
Menerusi pemilihan kali ini, sebanyak 251 individu telah mengemukakan pencalonan untuk merebut jawatan kepimpinan bagi penggal 2025-2028 dengan melibatkan 104 calon bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon untuk Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 calon bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Sumber: Pemilihan Keadilan Rakyat
BACA: Armizan Nafi Kerajaan MADANI Hapuskan Subsidi LPG
BACA: Pemilihan PKR: Rafizi Sedia Letak Jawatan Dalam Kabinet Jika Kalah