PAFA Cadang Sertai Liga A1 Musim Depan
IPOH, 26 Mei (Bernama) — Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bercadang menyertai Liga A1 anjuran Liga Bola Sepak Amatur Malaysia (AFL) pada musim depan sebagai langkah proaktif memastikan legasi bola sepak negeri itu terus hidup dan berkembang.
PAFA dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Perak FA memaklumkan fokus utama kini adalah membentuk satu pasukan menerusi skuad Sukan Malaysia (SUKMA) negeri yang bakal menjadi tunjang kebangkitan semula The Bos Gaurus di pentas tempatan.
“Perancangan sedang giat dilakukan untuk menyertai liga anjuran AFL sebagai permulaan, selain persediaan jangka panjang menuju SUKMA 2026, Piala Presiden 2026 dan Piala Belia 2026.
“Kami juga amat menghargai sokongan padu kerajaan negeri diterajui oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang sentiasa prihatin dan komited membantu PAFA memacu semula pembangunan bola sepak di negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Pada 22 Mei lepas, Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengalu-alukan penyertaan Perak serta Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga A1 ekoran kegagalan mendapatkan Lesen Kebangsaan yang menutup peluang bekas Juara Piala Malaysia 2018 itu beraksi pada Liga Super musim depan.
BACA: Kedah, Perak Tidak Lulus Pelesenan Kelab
Kegagalan kedua-dua pasukan itu memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Edisi 2024-2025 (MFL CLR) menjadi punca utama lesen kebangsaan mereka ditolak.
PAFA memaklumkan Presidennya Datuk Mohd Azhar Jamaluddin juga telah mengadakan siri pertemuan strategik bersama pimpinan utama bola sepak negara termasuk Mohd Yusoff untuk membincangkan hala tuju, kelayakan penyertaan dan syarat penyertaan dalam Liga Amatur, Piala Presiden, Piala Belia, Liga A1 serta pendaftaran lesen kebangsaan untuk masa depan.
Menurut badan induk bola sepak negeri itu, mereka tampil sebagai entiti utama bola sepak Perak dan sedar kekecewaan penyokong namun pada waktu ini semua pihak perlu bersatu, membina semula dan menyemai harapan yang baharu.
“Kami tidak menjanjikan keajaiban, tetapi kami janjikan kesungguhan dan keazaman yg luar biasa, semangat juang yang tidak mengenal erti kekalahan. Teruskan bersama kami, demi lambang, demi maruah, demi Perak Darul Ridzuan,” menurut kenyataan itu.
PAFA memaklumkan kebangkitan PAFA 2.0 merupakan misi pemulihan yang mula digerakkan semula secara terancang menerusi Pelan Strategi PAFA 2035.
“Mohd Azhar mengambil alih persatuan pada 8 Feb 2024 dan mewarisi hutang RM5 juta oleh pengurusan terdahulu namun PAFA hari ini tidak memilih untuk menuding jari.
“Sebaliknya, kami memilih untuk melangkah ke hadapan dengan strategi, perancangan dan hala tuju baharu,” menurut kenyataan itu.
BACA: Kegagalan Pelesenan Kebangsaan & Penilaian Semula Hala Tuju Kelab – KDA FC
Sumber: BERNAMA