Pulau Redang, Terengganu, 24 Mei 2025 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Anak Syarikatnya, AmanahRaya Trustees Berhad (AmanahRaya Trustees) melalui Yayasan AmanahRaya, hari ini telah menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) REDANG 2.0: Love & Care, yang berlangsung di Pantai Teluk Dalam.
Antara aktiviti yang menjadi tumpuan utama adalah pemasangan papan tanda berkaitan kepentingan memelihara kebersihan pantai dan alam sekitar, agihan tong sampah kepada para peniaga di sekitar Pantai Teluk Dalam dan aktiviti gotong-royong sekitar kawasan pantai. Selain itu, sumbangan zakat kepada lebih seratus (100) individu yang memerlukan bantuan di sekitar Pulau Redang turut dilaksanakan pada masa yang sama, sebagai usaha Kumpulan AmanahRaya dalam menyantuni komuniti setempat.
Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Perikanan Laut Malaysia dan Malaysian Tidal Garden Association serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang, atas kerjasama dalam mendukung prinsip ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus) Kumpulan AmanahRaya, di samping memastikan Impak berkekalan terhadap komuniti dan alam sekitar.
“Pulau Redang sekali lagi dipilih sebagai lokasi program berikutan keperluan yang signifikan dalam memperkasakan kesedaran pengunjung mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai dan alam sekitar, khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Pantai Teluk Dalam. Adalah diharapkan agar usaha murni ini dapat memberi implikasi positif seperti yang kita semua harapkan,” tambah beliau.
Sementara itu, bersempena Bulan Penyu Negeri Terengganu, lebih lapan puluh (80) sukarelawan Kumpulan AmanahRaya turut berpeluang menyertai aktiviti pelepasan lebih dua ratus (200) ekor anak penyu sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pemuliharaan biodiversiti marin. Kumpulan AmanahRaya juga turut menaja sebanyak dua (2) buah meja pembenihan terumbu karang menjadikan jumiah tajaan kini adalah sebanyak empat (4) buah meja, sebagal kesinambungan kepada inisiatif yang dimulakan pada tahun lalu.