Siakap Keli
Amorim senarai pemain diturunkan
Gambar: Manchester United

Amorim Beri Bayangan Senarai Pemain Diturunkan Malam Ini

Amorim Beri Bayangan Senarai Pemain Diturunkan Malam Ini

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Pengendali Manchester United, Ruben Amorim, memberi bayangan awal mengenai senarai pemain yang dijangka diturunkan dalam aksi persahabatan pertama jelajah Asia menentang ASEAN All-Stars yang akan berlangsung malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam sidang media pra-perlawanan semalam, Amorim menegaskan bahawa perlawanan ini bukan sekadar aksi pemanas badan, sebaliknya peluang untuk memberikan persembahan terbaik kepada penyokong, khususnya peminat kelab itu di Malaysia.

“Setiap perlawanan penting kerana penyokong kami menonton di seluruh dunia. Kami mahu menghormati sokongan ini dengan memberikan persembahan yang baik,” katanya.

Amorim turut mendedahkan 32 pemain yang dibawa ke Kuala Lumpur rata-ratanya dibarisi pemain utama, termasuk kapten pasukan Bruno Fernandes, selain beberapa pemain muda berbakat.

Beberapa Pemain Digugurkan

Bagaimanapun, beberapa pemain terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan sebab peribadi, antaranya Noussair Mazraoui, Lisandro Martinez, Leny Yoro, Christian Eriksen dan Victor Lindelof.

Susulan itu, beberapa pemain muda dari akademi dijangka akan mengisi kekosongan itu, seperti Dan Armer, Tyler Fredricson, Godwill Kukonki dan Reece Munro disebut sebagai pilihan untuk diturunkan, terutama di bahagian pertahanan.

Tidak terlepas juga dijangka bermain pada malam ini Ayden Heaven selepas mempamerkan kematangan setiap kali diturunkan dalam perlawanan.

“Kadang-kadang pemain muda boleh beri kejutan. Seperti Ayden, setiap kali dia bermain, dia nampak seperti sebahagian daripada pasukan utama,” tambahnya.

Sementara itu, dua pemain Belanda, Matthijs de Ligt dan Joshua Zirkzee, dilihat menjalani latihan berasingan semasa sesi terbuka di Bukit Jalil.

Perlawanan menentang ASEAN All-Stars merupakan aksi pertama United dalam siri jelajah Asia mereka dan bakal disiarkan secara langsung menerusi MUTV pada jam 8.45 malam waktu Malaysia.

Sebelum ini, Manchester United selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Isnin menerusi penerbangan Malaysia Airlines dengan kod MH8477 sekitar jam 6.34 petang.

Antara pemain bintang Manchester United yang kelihatan menuruni tangga pesawat ialah kapten pasukan, Bruno Fernandes, pemain tengah Casemiro serta pemain muda sensasi, Alejandro Garnacho.

Sumber: Manchester United 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.