Khutbah, Solat Jumaat Dipendekkan Sepanjang Musim Haji 2025
Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, telah mengarahkan semua imam dan khatib di kedua-dua masjid suci untuk memendekkan tempoh khutbah dan solat Jumaat sepanjang musim Haji 2025.
Arahan ini dikeluarkan sebagai langkah prihatin terhadap keadaan semasa yang dihadapi oleh jutaan jemaah, khususnya ketika suhu panas yang melampau sedang melanda kota suci Mekah dan Madinah.
Menurut Sheikh Al-Sudais, langkah ini diambil bagi meringankan beban fizikal serta menjaga keselamatan para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Beliau menegaskan bahawa arahan ini selaras dengan tanggungjawab dan sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran ibadah yang selesa dan selamat kepada para tetamu Allah.
“Dengan keadaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang sesak akibat ketibaan jemaah dari seluruh dunia, ditambah dengan suhu yang sangat tinggi, maka langkah pencegahan menjadi keutamaan.
“Ia penting untuk mengelak strok haba, keletihan melampau serta risiko kesihatan lain yang boleh menjejaskan jemaah.
“Berdasarkan prinsip Islam yang bersifat mudah, berperikemanusiaan, kami juga mengarahkan agar waktu antara azan dan iqamah untuk semua solat tidak melebihi 5 hingga 10 minit. Sementara itu, keseluruhan khutbah dan solat Jumaat pula tidak akan melebihi 15 minit,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa mimbar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memiliki kedudukan yang istimewa dalam jiwa umat Islam.
Justeru, memendekkan khutbah bukan sahaja membantu jemaah menunaikan ibadah secara sah dan sempurna, malah membolehkan mereka lebih fokus terhadap isi kandungan khutbah tanpa terganggu oleh cuaca panas atau keletihan.
Sheikh Al-Sudais juga memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan ketakwaan” (Al-Ma’idah: 2), serta sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang daripada kamu mengimami solat untuk orang ramai, maka ringankanlah solat itu; kerana sesungguhnya antara mereka terdapat yang lemah, sakit dan warga emas” (Riwayat al-Bukhari).
Arahan ini turut mengambil kira realiti jemaah yang bersolat di kawasan mataf, tingkat atas serta perkarangan masjid yang terdedah secara langsung kepada cuaca panas.
Langkah ini juga selaras dengan prinsip maqasid syariah serta kaedah fiqh yang menekankan keperluan untuk memudahkan umat Islam dalam beribadah, khususnya dalam keadaan luar biasa.
BACA: Tip: Korang ‘Wajib’ Tahu Benda Ni Sebelum Pasang CCTV Di Rumah
Sumber: Astro Awani