Alex Ferguson Pernah ‘Naik Angin’, Pemain United Tak Layan Peminat
Malam tadi, kecoh satu dunia apabila Manchester United tewas kepada Asean All Star dalam satu perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup.
Sebelum dan selepas perlawanan itu juga tular beberapa klip memaparkan pemain united yang kurang mesra dengan peminat.
Kejadian sebegini mengingatkan kita kepada kisah yang pernag diceritakan Evra dalam satu podcast di laman Manchester United.
Kisah ini SK terbaca dalam kiriman dari laman Facebook Axello Riise sebentar tadi.
Bekas pertahanan kiri Perancis, Patrice Evra, pernah jadi antara pemain paling disayangi di Old Trafford sejak menyertai Manchester United dari AS Monaco pada Januari 2006. Namun, di sebalik kejayaannya, ada satu insiden yang masih segar dalam ingatannya ketika Sir Alex Ferguson ‘meletup’ gara-gara mereka tak layan peminat.
Dalam satu temu bual bersama Podcast Rasmi Manchester United, Evra berkongsi kisah bagaimana sikap malas mereka untuk menandatangani autograf pada satu jelajah pra-musim membuatkan mereka ‘dibasuh’ oleh pengurus lagenda itu.
“Sebelum naik bas tu, aku terus terang je memang kami semua dah penat gila. Dekat luar tu ada ramai peminat tengah beratur panjang tunggu nak minta tandatangan.”
“Lepas tu ada sorang cakap, ‘Kalau sorang pun tak tandatangan, semua pun tak payah lah’. Jadi kita semua terus naik je bas.”
“Tapi masa aku duduk dekat tingkap, aku nampak Sir Alex tengah berdiri kat luar, tandatangan satu-satu untuk semua peminat tu. Tak berhenti weh. Aku rasa dalam 45 minit dia layan.”
“Masa tu aku terus cakap kat semua orang, ‘Habis la kita… bila boss naik bas, siaplah!’”
“Lepas tu dia naik je, terus dia marah ‘Kau ingat kau siapa? Peminat tu lah bayar gaji korang. Diorang datang semata-mata nak tengok kau. Turun sekarang, pergi tandatangan!’”
“Kita semua memang kena turun balik, sorang demi sorang tandatangan semua peminat tu. Tapi dari situ lah aku belajar ni bukan pasal kau sorang. Ni pasal tanggungjawab pada peminat.”
“Main Untuk United Bukan Pasal Glamor”
Evra juga cerita tentang rasa hormatnya pada Sir Bobby Charlton, terutama bila melihat lagenda itu ikut serta dalam penerbangan pasukan, walaupun pernah selamat dari nahas udara Munich.
“Setiap kali salam dengan Sir Bobby, aku rasa sesuatu. Bila nampak dia dalam kapal terbang dengan kami, aku terfikir orang ni seorang yang luar biasa.”
Katanya, pemain muda United hari ini patut lebih sedar tentang sejarah kelab dan orang yang pernah mengharumkan nama United.
“Tak ada alasan. Tengok je DVD macam aku buat dulu. Bila pakai jersi tu, kau bawa nama beratus orang yang dah menang dengan jersi tu. Jangan kecewakan mereka.”
“Main untuk Manchester United bukan pasal jadi famous. Kau tak guna nama United, kau main untuk bagi balik pada peminat.”
“Ferguson Ubah Kami Jadi Robot Untuk Menang”
Evra pernah menang 5 Liga Perdana, 1 Liga Juara-Juara, dan 3 Piala Liga bersama United. Tapi dia akui, selepas kejuaraan pertama, segalanya berubah.
“Masa menang liga kali pertama, aku lompat-lompat macam budak kecil. Tapi Mikael Silvestre tenung aku pelik sebab dia dah menang empat kali. Dia suruh aku bertenang.”
“Lama-lama bila menang kali ketiga, keempat, kelima… rasa tu dah lain. Kita sambut pun sebab kamera. Ferguson ajar kami — menang itu normal.”
“Aku rasa aku bukan manusia masa main dengan United. Bila menang, aku tak rasa bangga. Sebab aku dah anggap itu biasa.”