Belum Fikir Rombakan Kabinet, Rafizi & Nik Nazmi Masih Bercuti – PM Anwar
PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memikirkan untuk melaksanakan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata secara prinsipnya kedua-dua menteri berkenaan sedang bercuti dan masih belum boleh digantikan.
“Belum, mereka masih bercuti. Kita tidak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
BACA: PM Lulus Permohonan Cuti Rafizi Dan Nik Nazmi, Keputusan Diumum Kemudian – PMO
Semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan meletak jawatan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini diikuti Ahli Parlimen Setiawangsa yang mengambil langkah sama berkuat kuasa 4 Julai.
Keputusan berkenaan susulan kegagalan mereka mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 minggu lepas.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan Anwar telah menerima surat permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
Kenyataan itu memaklumkan Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian.
Sumber: BERNAMA