Manfaatkan AI, Maktabah Al-Bakri Perkenal Dua Karakter Pegawai Pintar Syariah
Untuk mendapatkan kesahihan berkaitan sesuatu isu dan soalan agama, penting untuk kita yakin dengan sumber yang dirujuki.
Dari ceramah yang didengari melalui siaran televisyen atau klip ceramah yang dikongsi di platform media sosial, setiap negeri mempunyai laman rasmi Pejabat Mufti masing-masing bagi mendapatkan jawapan kepada apa jua soalan berkaitan agama.
Selain itu, salah seorang tokoh agama yang dihormati di Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli turut mempunyai laman sesawang beliau yang menjawab segala soalan berkenaan hukum hakam agama Islam.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu dan sehingga kini masih aktif dalam menyumbang kepada bidang keilmuan Islam di negara kita, melalui ceramah-ceramah, buku terbitan beliau dan artikel di laman rasmi beliau.
Baru-baru ini, beliau mengumumkan segmen baharu yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang bakal membawakan penerangan isu-isu dalam konteks yang ringkas dan mudah difahami.
Maktabah Al-Bakri Perkenal Karakter Baharu
Menurut Dr Zulkifli, watak digital yang diberi nama AIDr. Munir dan AIDr. Munirah itu dihasilkan menggunakan ChatGPT Plus dan Hedra Studio.
“Dengan penuh rasa syukur, saya ingin memperkenalkan dua watak digital baharu yang kini menyertai Maktabah Al-Bakri sebagai Pegawai Pintar Syariah (PPS): AIDr. Munir dan AIDr. Munirah
“Kedua-duanya merupakan model kecerdasan buatan (AI) yang “dilahirkan” hasil kerjasama ChatGPT Plus (dibangunkan oleh OpenAI) dan Hedra Studio, yang berfungsi sebagai “custom persona developer” dengan sentuhan tempatan dan pastinya patuh syariah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua karakter itu berperanan dalam merumuskan jawapan kepada lebih 9,000 persoalan-persoalan berkaitan hukum semasa, fatwa kontemporari, dan isu fiqh masyarakat yang ada dalam pengkalan data aplikasi Al-Inarah.
“Jangan risau kerana mereka telah diprogramkan untuk mesra media sosial. Jawapan mereka juga adalah berdasarkan pendirian saya terkait isu dalam hal ehwal agama. Ini baru permulaan. Nantikan lebih banyak kejutan,” ujarnya lagi.
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri via Facebook