4 Hari Pergi Melancong, 6 Pempengaruh Dari Malaysia Masih ‘Tersangkut’ Di Jaipur
India mempunyai pelbagai tarikan dan hidden gem yang ramai tak sedar. Bukan hanya Taj Mahal yang tersergam indah, banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati dan salah satu darinya adalah di Jaipur.
Turut digelar sebagai Kota Pink, AirAsia kini turut menyediakan laluan terus ke sana dengan harga yang sangat berpatutan dan tak hairanlah ramai pelancong dari Malaysia terbang ke sana.
Tapi bila bercakap pasal Jaipur, korang tahu tak yang sekarang masih ada enam orang pempengaruh dari Malaysia ‘tersangkut’ di sana?
Enam pempengaruh yang dimaksudkan adalah Melissa Th’ng, Dharshamini Kesavan, Siva Kumar, Afiq Azhar, Sheqin Z dan Evelyn Tay Suet Mei.
Hati & jiwa yang masih ‘tersangkut’ kat sana
Namun jangan risau, bukan jasad mereka yang tersangkut di sana, sebaliknya hati dan jiwa mereka yang masih tertinggal di sana dek kerana pengalaman yang sangat menakjubkan.
Manakan tidak, selama empat hari berada di sana, mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti dan menjelajah pelbagai jenis tempat menarik.
Mesti korang pelik kenapa sampai hati dan jiwa tersangkut kat sana walaupun dah pulang ke Malaysia, rupanya sebab perkara-perkara ini. Min kongsikan perjalanan mereka sepanjang berada di Jaipur.
Hari pertama dimulakan dengan menikmati keunikan seni bina bangunan di Panna Meena ka Kund yang ada telaga bertangga sedalam 200 meter. Bayangkan, ribuan pelancong datang ke sini kerana nak tengok keunikan telaga yang penuh dengan air sepanjang tahun.


Apa yang jadikan telaga itu unik adalah tangganya bercorak silang dan sangat memukau, menonjolkan keunikan seni bina di situ. Jadi tidak hairan jika ia jadi lokasi tumpuan untuk bergambar.
Selepas itu, kesemua pempengaruh dibawa ke Amer Fort iaitu sebuah kubu besar yang menjadi saksi kepada keagungan masa silam Rajasthan. Dengan gabungan harmoni batu pasir kuning pucat dan merah jambu, ia tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO.


Ketika di sini, struktur kubu itu yang besar boleh buatkan kita terpukau sebab ia ada empat bahagian utama dan masing-masing ada halaman sendiri yang sangat indah.
Dah penat berjalan-jalan teroka keunikan bangunan, tiba masanya untuk mengisi perut yang dah berkeroncong. Untuk makan tengah hari, Samode Haveli menjadi pilihan. Hotel mewah yang berusia lebih 225 tahun ini pada asalnya adalah kediaman diraja tetapi dah diubahsuai jadi hotel warisan.

Hotel ini ada restoran popular yang sediakan hidangan Rajasthani dan antarabangsa. Masuk je ke sini, kita akan disambut dengan simfoni warna dan tekstur daripada mural pada dinding yang dilukis tangan.
Menginjak ke waktu petang pula, enam pempengaruh dibawa untuk menikmati keindahan bandar Jaipur ketika matahari terbenam. Dengan menaiki jeep, ia sememangnya pengalaman yang sangat mengujakan.


Menutup hari pertama di sini, tiba masanya untuk mengisi perut dengan makan malam di Pavo by Santha Bagh. Restoran ini terletak dalam sebuah rumah art deco yang diubah suai menjadi ruang makan yang intim dan bergaya.
Reka bentuk dalaman yang elegan dan suasana tenang jadikan tempat ini ideal untuk nikmati hidangan dalam suasana mewah. Boleh dikatakan macam-macam ada dekat restoran ini, makanan seperti Lotus chips, ayam mentega dan pizza ayam masala antara hidangan yang perlu korang sendiri rasai.

Masuk hari kedua, mereka mula meneroka City Palace yang diilhamkan dan dibina oleh Maharaja Sawai Jai Singh II. Untuk pengetahuan istana ini masih menjadi rumah kepada keluarga diraja terakhir yang tinggal di bahagian peribadi istana. Dengan gabungan seni bina Mughal dan Rajput, ia juga menempatkan Muzium Maharaja Sawai Man Singh II.

Siap bergambar dan teroka City Palace, The Jantar Mantar pula menanti untuk dijelajah oleh mereka. Menariknya, lokasi ini adalah tapak cerapan astronomi yang dibina pada awal abad ke-18. Direka bentuk untuk pemerhatian kedudukan astronomi dengan mata kasar, ia merangkumi beberapa inovasi seni bina dan instrumental.
Mereka akui terpegun tengok beberapa monumen yang sangat unik dan ada nilai seni binanya yang tersendiri.

Tiba masanya untuk makan tengah hari, kali ini Paro-Modern Indian Bar menjadi pilihan. Selain gabungan kulinari warisan India dan sentuhan moden, tarikan di sini juga adalah suasananya yang mewah dan bersejarah.
Terletak di MI Road, Paro bertempat di bangunan kolonial berusia 80 tahun yang telah diubahsuai menjadi ruang makan yang elegan. Pencahayaan yang lembut, perabot mewah dan chandelier bergaya, ia cipta suasana yang sesuai untuk makan malam romantik atau pertemuan sosial dengan kawan-kawan.

Tiba pula waktu minum petang, Tattoo Cafe & Lounge dikunjungi oleh mereka. Terletak betul-betul berhadapan Hawa Mahal, mereka dapat nikmati pemandangan ikonik istana merah jambu dari tempat duduk atas bumbung.
Sebenarnya gambar di lokasi ini juga mungkin korang pernah lihat sebelum ini kerana ia sememangnya sangat popular dan jadi port untuk OOTD.

Hawa Mahal pula yang dibina pada tahun 1799 direka dengan 953 tingkap kecil atau jharokha, menjadikannya salah satu lokasi unik yang menawan. Untuk pengetahuan, Hawa Mahal direka oleh Lal Chand Ustad menggunakan batu pasir merah dan merah jambu. Bahagian luar kelihatan seperti sarang lebah yang penuh dengan tingkap berukir halus.
Seterusnya, Steam di Rambagh Palace pula jadi pilihan untuk makan malam pada hari kedua. Restoran ini tampilkan gerabak kereta api bersejarah yang telah diubah suai menjadi ruang makan eksklusif.


Beralih pula ke hari ketiga, mereka terbabit merasai sendiri pengalaman menaiki safari belon udara panas. Pastinya, mereka dapat saksikan pesona pemandangan sekitar bandar Rajasthan.
Perjalanan untuk ke lokasi pelepasan belon udara panas ini ambil masa satu jam dari bandar Jaipur. Sampai di sana, mereka dapat ‘terbang’ satu jam. Bila berada di dalam belon udara ini, mereka disajikan dengan pemandangan perkampungan tradisional dan bukit-bukit berbatu.


Hari ketiga diteruskan lagi dengan lawatan di Bagru iaitu pusat cetakan blok tradisional. Mereka dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana mencetak menggunakan teknik khas Block Printing yang menampilkan corak flora, geometri dan motif tradisional.
Bila dah siap mencetak, masing-masing bawa balik kain sapu tangan yang direka sendiri oleh mereka.


Sebelum menamatkan hari ketiga, mereka juga telah melawat sebuah keluarga tempatan untuk merasai pengalaman di bandar itu dengan lebih dekat.
Mereka mengunjungi rumah keluarga Pachevar dan lakukan demo memasak makanan tradisional India serta makan malam bersama.
Tidak dilupa juga, mereka berpeluang belajar cara untuk pakai baju tradisional dengan betul.



Pejam celik dah masuk hari keempat, perjalanan hari terakhir ini dimulakan di Patrika Gate. Ia adalah salah satu mercu tanda terbaru dan paling fotogenik di Jaipur.
Kawasan tumpuan ramai itu terletak di Jawahar Circle Garden iaitu kira-kira lima hingga 10 minit dari Lapangan Terbang Jaipur. Ukiran halus dan reka bentuk simetri yang dibina dalam gaya Rajput dan Mughal jadikan gerbang di sini mengagumkan.
Lebih mengujakan, dinding dalaman gerbang itu dihiasi dengan lukisan tangan berwarna-warni. Ia menggambarkan sejarah, budaya, tarian rakyat, istana dan warisan bandar Jaipur.


Selepas menghayati seni bina di situ, mereka makan tengah hari di The LampPost Cafe yang terletak di C Scheme. Seperti restoran-restoran lain sebelum ini, kafe ini juga dihiasi reka bentuk dalaman yang menarik dengan hiasan lampu vitaj dan pencahayaan yang menawan.
Bila dah sampai di Jaipur ini, tak sah kalau tak singgah di Bapuu Bazaar. Terletak di pusat bandar berhampira Hawa Mahal dan Chaura Rasta, bazar ini terkenal dengan pelbagai barangan tradisional Rajasthaan.
Rambang mata mereka nak pilih barang-barang kat sana. Banyak yang boleh dibeli sepergi pakaian tradisional, kasut, barang kemas, kraf tangan dan banyak lagi.


Menarik kan segala aktiviti dan tempat yang mereka kunjungi, jadi tak hairan lah mereka masih ‘tersangkut’ kat sana. Apa yang penting lokasi-lokasi itu semua memang Instagramable. Sangat cantik untuk bergambar.
Bagi yang ada plan nak ke sana, korang memang kena terus plan dengan keluarga atau kawan, sebab korang boleh mula booking tiket dekat AirAsia sekarang juga.
Lebih mudah, korang boleh booking tiket dalam aplikasi Move AirAsia yang tersedia dia Google Playstore dan App Store.
Untuk maklumat lanjut, layari AirAsia atau aplikasi Move.