Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Makkah Akibat Serangan Jantung
MAKKAH, 31 Mei (Bernama) — Seorang jemaah haji dari Johor Bahru, Johor, meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz di sini semalam akibat serangan jantung.
Allahyarham Misnan Ahmad, 60, yang juga jemaah daripada penerbangan KT46 dan menginap di Maktab Bangunan Diary Al Saad di sini disahkan meninggal dunia pada 7.50 pagi waktu tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham yang turut berada di Tanah Suci serta ahli keluarga yang lain.
“Lembaga Tabung Haji (TH) akan menguruskan proses pengebumian dan kita jangkakan jenazah akan dikebumikan hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.
Beliau berkata TH juga akan menyerahkan khairat kematian kepada waris dan akan melaksanakan badal haji untuk arwah pada musim haji ini.
Setakat ini, lima jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah.
Sumber: Bernama