Perumahan Terbengkalai Lebih 10 Tahun Berjaya Diselesaikan – MB Johor
JOHOR BAHRU, 1 Jun (Bernama) — Penantian pembeli projek perumahan yang terbengkalai lebih 10 tahun di Taman Permata Layang, Simpang Renggam, Johor, untuk memiliki kediaman sendiri kini berakhir selepas mereka menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), semalam.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau sendiri berpeluang menyampaikan SLMR kepada pembeli projek berkenaan yang melibatkan pembinaan 47 unit rumah mampu milik dengan harga bermula serendah RM42,000 seunit.
“Secara peribadi, projek ini sangat dekat di hati saya kerana ia berada dalam kawasan saya sendiri, di Simpang Renggam dan telah saya perjuangkan sejak mula menjadi wakil rakyat.
“Proses untuk menyelesaikannya bukan mudah, ia memerlukan pelbagai intervensi, turun padang, pengurusan terperinci dan kerjasama erat antara pelbagai agensi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berharap supaya usaha itu menjadi titik tolak kepada lebih banyak penyelesaian projek terbengkalai di Johor.
Kerajaan negeri juga komited untuk menangani setiap projek sakit dan terbengkalai bagi memastikan isu itu tidak berulang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta semua pihak yang terlibat, termasuk Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pejabat Daerah Kluang, dan Majlis Daerah Simpang Renggam.
BACA: Baucar Buku Diperluas Kepada 400,000 Guru – PM Anwar
BACA: KPM Akan Laksana Segera Inisiatif Baucar Buku Untuk PPP
BACA: PBAKL 2025: PM Anwar Sempat Beri Sokongan Kepada Cucu Sertai Pertandingan Catur
Sumber: BERNAMA