Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

7 Fakta Menarik Mengenai YDPA Sultan Ibrahim

Sofea
fakta menarik ydpa
Kredit: Bernama

7 Fakta Menarik Mengenai YDPA Sultan Ibrahim

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim. Seperti yang diketahui, sambutan Hari Keputeraan ini akan diadakan setiap tahun pada Isnin minggu pertama bulan Jun.

Sultan Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai YDPA ke-17 pada tahun lalu berperanan sebagai Ketua Negara. Baginda menjadi simbol perpaduan dan kedaulatan tanah air.

Sempena hari istimewa ini, SK ingin berkongsi fakta menarik mengenai baginda yang juga merupakan Sultan Johor.

Kredit: Bernama

Sifat berani dan kepimpinan terserlah sejak usia muda

Menurut Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim, baginda yang diputerakan pada 22 November 1958 telah dididik dan diasuh menjadi seorang raja yang cerdik, berpengetahuan, berwibawa dan berdaulat.

Baginda juga mengikut jejak langkah kesultanan sebelum baginda apabila melibatkan diri dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran.

Baginda telah dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi selepas tamat persekolahan.

Bukan sahaja di dalam negara, baginda juga aktif mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di luar negara iaitu di Fort Benning, Georgia Amerika Syarikat. Malah, baginda juga menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Lebih menarik, baginda telah melakukan 19 terjunan payung terjun dan lapan darinya pada waktu malam ketika latihan American Special Forces dan Pathfinder. Latihan itu memperlihatkan baginda ditauliahkan sebagai seorang komando. Di samping itu, baginda turut ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia selepas melakukan beberapa penerjunan di Bandung.

Kredit: Bernama

Kendalikan helikopter perseorangan

Selepas kembali ke Johor, baginda telah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri. Ketika itu, baginda menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dibenarkan untuk mengendalikan penerbangan helikopter perseorangan.

Pada 26 April 1982, baginda menjadi ketua dalam satu upacara perbarisan dan telah menerima sayap dari Sultan Iskandar.

Pencapaian baginda dalam ketenteraan bukan terhenti setakat itu, baginda turut menyertai latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut selama tiga bulan. Ia sekaligus melengkapkan baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.

Pendidikan undang-undang

Selain bidang ketenteraan, baginda juga pernah melanjutkan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts USA. Ketika itu, baginda melengkapkan dua kursus iaitu Southeast Asian Strategic Studies dan International Laws of the Seas.

Dimasyurkan sebagai Sultan Johor

Sewaktu Sultan Iskandar menaiki takhta kerajaan Johor, baginda telah dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda juga dillantik sebagai Pemangku Raja dari 25 April 1984 hingga 25 April 1989 ketika Sultan Iskandar menjadi Yang DiPertuan Agong. Ketika tempoh ini, baginda menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.

Pada 23 Januari 2010, detik sejarah terukir apabila baginda dimasyurkan sebagai Sultan Johor selepas kemangkatan Sultan Iskandar.

Program Kembara Mahkota Johor

Bila sebut mengenai Program Kembara Mahkota Johor, ia sememangnya sangat sinonim dengan baginda. Dilaksanakan sejak 2001, program ini diilhamkan ketika baginda menjadi Tunku Mahkota Johor.

Selain Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan putera puteri baginda, program itu juga turut disertai oleh Menteri Besar dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Kredit: Bernama

Baginda mengumumkan Kembara Mahkota Jelajah Johor itu dijadikan acara tahunan dan meletakkan matlamat menjadikannya sebagai program amal bagi membantu golongan kurang bernasib baik. Antara sumbangan yang pernah diberikan adalah komputer, pakaian dan basikal kepada murid-murid miskin di luar bandar.

Sangat minat sukan

Mungkin ada yang sudah tahu dan mungkin ada yang belum, baginda sememangnya sangat berminat dalam bidang sukan. Baginda pernah menyertai kejohanan sukan polo sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain polo, baginda juga menyukai sukan tenis, luncur layar, menembak, memandu dan payung terjun.

Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi

Paling menarik adalah apabila baginda mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mendapat Lesen Memandu Kereta Api Kelas 26. Baginda ketika itu telah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat turn table. Pengiktirafan itu menjadikan baginda sebagai Sultan pertama yang memandu kereta api secara rasmi.

Majlis penyampaian lesen memandu kereta api terbabit disempurnakan oleh Presiden Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan pada 29 Jun 2010 di Stesen Kereta Api Gemas.

Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim

BACA JUGA: Kenapa Hari Keputeraan Agong Tidak Sama Dengan Hari Kelahiran Baginda? Ini Penjelasannya