Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

5 Fakta Menarik Menjelang F1 Kembali Ke Litar Antarabangsa Sepang

F1
Kredit: Bernama

Selepas hampir sedekad meninggalkan kalendar Formula 1 (F1), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali menjadi tumpuan apabila saingan F1 berlangsung di Malaysia.

Walaupun perlumbaan kali ini masih menggunakan nama Grand Prix Bahrain selepas Malaysia mengambil alih sebagai venue gantian, kepulangan F1 ke Sepang pastinya mengimbau kembali sejarah panjang litar berkenaan sejak pertama kali menjadi tuan rumah pada 1999.

Sepang kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017 sebelum kembali dalam kalendar musim ini.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa fakta menarik mengenai litar yang sinonim dengan cuaca panas, hujan lebat dan perlumbaan penuh drama itu?

Jom lihat lima perkara menarik mengenai Sepang yang mungkin ramai tidak tahu.

1. Sepang Jadi ‘Tapak Ujian’ Pertama Hermann Tilke

Sepang merupakan litar Formula 1 pertama yang dibina dari kosong oleh pereka litar terkenal, Hermann Tilke.

Projek yang disiapkan pada 1999 itu menjadi antara asas kepada reka bentuk litar moden yang kemudiannya digunakan di beberapa venue F1 lain seperti Bahrain, Shanghai, Istanbul, Singapura, Abu Dhabi, Austin, Baku dan Jeddah.

Antara ciri yang sinonim dengan reka bentuk Tilke ialah laluan lurus yang panjang, selekoh tajam, zon membrek berat serta kawasan larian yang luas.

Sepang menjadi antara litar terawal untuk menguji pendekatan tersebut pada peringkat Grand Prix.

2. Hampir Separuh Pelumba Pernah Berlumba Di Sepang

Walaupun sudah lama tidak berada dalam kalendar F1, sebahagian pelumba musim ini sebenarnya bukanlah asing dengan Litar Antarabangsa Sepang.

Seramai 10 daripada 22 pelumba yang disenaraikan untuk perlumbaan kali ini pernah beraksi di Sepang sebelum ini.

Max Verstappen, misalnya, memenangi Grand Prix Malaysia pada 2017 ketika F1 kali terakhir berkunjung ke Sepang.

Kemenangan itu merupakan kemenangan kedua Verstappen dalam F1 ketika itu, sebelum jumlah kemenangan pelumba berkenaan terus meningkat.

Antara pelumba lain yang pernah beraksi di Sepang ialah Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Valtteri Bottas, Carlos Sainz, Nico Hülkenberg, Esteban Ocon, Sergio Perez, Lance Stroll dan Pierre Gasly.

Lebih menarik, perlumbaan 2017 merupakan penampilan sulung Gasly dalam F1.

3. Cuaca Boleh Jadi ‘Wildcard’

Jika ada satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan di Sepang, sudah tentu cuaca.

Penghujung September dan awal Oktober merupakan tempoh peralihan monsun di Malaysia, dengan suhu boleh melebihi 30 darjah Celsius, kelembapan tinggi dan hujan lebat yang boleh turun secara tiba-tiba.

Sejarah F1 di Sepang juga membuktikan cuaca mampu mengubah keseluruhan perlumbaan.

Pada 2009, perlumbaan terpaksa dihentikan lebih awal selepas hujan tropika lebat menyebabkan keadaan litar tidak lagi sesuai untuk perlumbaan.

Perlumbaan 2012 juga berdepan gangguan cuaca yang menyebabkan saingan dihentikan untuk tempoh yang panjang.

Keadaan sebegini menjadikan strategi pasukan lebih mencabar kerana hujan boleh mengubah keputusan dalam hanya beberapa pusingan.

Selain hujan, suhu dan kelembapan tinggi turut menguji ketahanan pelumba serta pengurusan tayar dan sistem penyejukan jentera.

4. Litar Yang Menguji Keberanian Pelumba

Sepang sememangnya terkenal sebagai litar yang memberikan banyak peluang untuk aksi memotong.

Dengan lebar litar antara 16 hingga 25 meter di sesetengah bahagian, Sepang mempunyai dua laluan lurus panjang yang membawa pelumba ke zon membrek berat sebelum memasuki selekoh tajam.

Dalam satu pusingan, pelumba turut berdepan gabungan selekoh laju, selekoh perlahan, zon membrek menuruni bukit serta beberapa apex yang mencabar.

Permukaan litar yang agak kasar, ditambah dengan cuaca panas dan lembap, turut memberikan tekanan tinggi kepada tayar.

Terutamanya ketika melalui selekoh berkelajuan tinggi, tayar perlu menanggung tekanan yang besar sebelum pelumba kembali memecut di laluan lurus.

Gabungan peluang memotong dan cabaran terhadap tayar itu menjadikan Sepang antara hasil reka bentuk Tilke yang sering mendapat perhatian peminat F1.

Kini, kepulangan Sepang memberi peluang untuk melihat bagaimana litar berkenaan berdepan dengan jentera F1 generasi 2026.

5. Sepang Pernah Jadi Pentas Perlumbaan Penuh Drama

Sepang menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 dan sepanjang tempoh itu, pelbagai insiden menarik pernah berlaku.

Pada perlumbaan sulung 1999, Eddie Irvine menamatkan perlumbaan di hadapan rakan sepasukan Ferrari, Michael Schumacher.

Namun, keputusan itu pada awalnya terganggu selepas kedua-dua jentera Ferrari didapati melanggar peraturan berkaitan ukuran bargeboard.

Ferrari kemudiannya membuat rayuan dan keputusan tersebut dibatalkan selepas FIA International Court of Appeal mendapati terdapat faktor toleransi pembuatan serta ketidakpastian ukuran.

Keputusan satu-dua Ferrari akhirnya dikembalikan dan perebutan kejuaraan dunia berterusan sehingga perlumbaan terakhir di Jepun.

Kemudian pada 2001, hujan sekali lagi mencuri perhatian.

Hujan tropika yang turun pada awal perlumbaan, ditambah dengan tumpahan minyak daripada jentera Olivier Panis, menyebabkan beberapa kereta hilang kawalan.

Dua Ferrari kendalian Michael Schumacher dan Rubens Barrichello turut berpusing dan masuk ke kawasan perangkap batu kelikir.

Namun, keputusan menggunakan tayar perantara ketika litar mula mengering membantu kedua-dua pelumba bangkit sehingga akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.

Pada 2009 pula, hujan lebat menyebabkan perlumbaan dihentikan lebih awal, sekali gus menyaksikan Jenson Button bersama Brawn GP muncul pemenang.

Tahun 2013 pula menyaksikan kontroversi arahan pasukan Red Bull.

Sebastian Vettel tidak mengendahkan arahan supaya mengekalkan kedudukan di belakang Mark Webber sebelum memotong rakan sepasukannya itu.

Namun, antara perlumbaan paling diingati berlaku pada 2016 apabila Lewis Hamilton yang bermula dari petak pertama gagal menamatkan perlumbaan selepas enjin keretanya mengalami kerosakan ketika berada di hadapan.

Kegagalan tersebut memberikan peluang kepada rakan sepasukannya, Nico Rosberg, untuk melebarkan kelebihan dalam perebutan kejuaraan dunia.

Rosberg akhirnya muncul juara dunia pada penghujung musim tersebut sebelum mengumumkan persaraan daripada F1 beberapa hari kemudian.

Selepas hampir sedekad tanpa deruman jentera F1, kepulangan Sepang pastinya menjadi peluang untuk melihat sama ada litar ikonik Malaysia itu masih mampu menghadirkan drama seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Intipati
  • Sepang kembali menjadi tumpuan F1 selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan pada 2017.
  • Litar itu ialah projek F1 pertama Hermann Tilke yang dibina sepenuhnya dari kosong.
  • Cuaca panas, kelembapan tinggi dan hujan lebat sering mempengaruhi strategi perlumbaan di Sepang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan