Tidur Dengan “Aircond” & Kipas Terbuka: Ini Risikonya
Tidur dalam bilik sejuk memang nyaman apatah lagi selepas seharian berhadapan dengan cuaca panas dan tekanan kerja. Bagi kebanyakan orang, aircond dan kipas sudah jadi ‘teman setia’ pada setiap malam.
Namun, di sebalik rasa selesa itu, ramai yang tidak menyedari bahawa tidur dengan aircond dan kipas yang terpasang sepanjang malam sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Lebih membimbangkan, kesan buruk ini jarang dirasai dengan serta-merta. Ia sering berlaku secara perlahan dan tanpa disedari.
Bermula dengan gangguan tidur yang ringan kemudian berlarutan menjadi masalah kulit, pernafasan, atau sakit otot yang kronik.
Tambahan pula, bagi golongan yang lebih sensitif seperti warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, pendedahan berterusan kepada udara sejuk sepanjang malam boleh mendatangkan risiko yang lebih serius.
Oleh itu, penting untuk kita memahami apa sebenarnya yang berlaku kepada tubuh apabila tidur dalam keadaan terlalu sejuk setiap malam.
Artikel ini akan membongkarkan 5 risiko yang boleh berlaku akibat anda selalu tidur dengan keadaan kipas dan aircond yang sentiasa terbuka.
1. Kulit dan saluran pernafasan menjadi terlalu kering
Salah satu kesan utama tidur dalam bilik yang berhawa dingin atau dengan kipas yang terarah terus kepada tubuh ialah kekeringan pada kulit dan sistem pernafasan.
Ini kerana kedua-dua alat ini menyerap kelembapan udara yang akan menyebabkan kulit anda menjadi kering, gatal dan mengelupas.
Lebih membimbangkan, ia juga boleh menyebabkan mulut, tekak serta hidung terasa kering dan tidak selesa sewaktu bangun pagi. Dalam jangka masa yang panjang, ia boleh mengganggu keselesaan tidur dan sistem imun tubuh.
Untuk mengurangkan kesan ini, anda boleh meletakkan pelembap udara atau sekurang-kurangnya semangkuk air di dalam bilik tidur bagi mengekalkan kelembapan udara.
Selain itu, tetapan suhu aircond juga memainkan peranan penting. Elakkan suhu yang terlalu sejuk. Suhu antara 24°C hingga 26°C dianggap ideal untuk tidur yang sihat dan tidak mengganggu keseimbangan kelembapan kulit.
2. Sakit otot dan kekejangan sendi
Pernah tak anda bangun pagi dengan rasa sengal atau sakit pada leher dan bahu? Ini mungkin berpunca daripada angin sejuk dari aircond atau kipas yang terkena terus ke badan anda sepanjang malam.
Ketika tidur, otot berehat sepenuhnya. Jadi, pendedahan yang berterusan kepada angin sejuk boleh menyebabkan otot menjadi tegang dan kaku.
Lama-kelamaan, ia boleh membawa kepada sakit otot yang kronik terutamanya jika tidur dalam posisi yang salah.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, sebaiknya elakkan arah angin terus ke tubuh anda. Gunakan fungsi swing pada aircond supaya udara disebarkan secara sekata ke seluruh bilik dan tidak hanya tertumpu pada satu arah.
Anda juga boleh menggunakan selimut yang nipis sebagai perlindungan tambahan bagi mengekalkan suhu badan yang stabil tanpa terlalu panas atau terlalu sejuk.
3. Risiko masalah alahan dan pernafasan
Ramai yang tidak menyedari bahawa aircond dan kipas sebenarnya boleh menjadi sarang habuk dan kulat jika tidak dibersihkan secara berkala.
Habuk yang tersebar dalam udara boleh menyebabkan alahan, resdung dan memburukkan keadaan bagi mereka yang menghidap asma.
Tambahan pula, sistem pernafasan manusia menjadi lebih sensitif ketika tidur kerana kadar pernafasan menurun.
Bagi mengurangkan risiko ini, pastikan anda membersihkan penapis aircond dan bilah kipas secara konsisten. Sebaiknya servis aircond sekurang-kurangnya tiga bulan sekali dan bersihkan kipas sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Ini bukan sahaja dapat mengekalkan kualiti udara yang bersih malah menjadikan tidur anda lebih selesa dan bebas daripada gangguan alahan.
BACA : Guna Telefon Je : Ini 5 Fungsi Canggih Kereta
4. Ketidakseimbangan suhu badan
Selain itu, tidur dalam suhu yang terlalu rendah boleh mengganggu sistem pengawalan suhu semula jadi badan.
Dalam sesetengah kes, individu boleh mengalami menggigil atau demam ringan selepas tidur malam yang panjang dalam suhu terlalu sejuk.
Bagi bayi dan warga emas, keadaan ini boleh menjadi lebih serius kerana tubuh mereka lebih sensitif terhadap perubahan suhu persekitaran.
Untuk mengelakkan ketidakseimbangan ini, anda digalakkan menggunakan fungsi pemasa (timer) pada alat penghawa dingin supaya ia berhenti secara automatik selepas beberapa jam.
Ini membolehkan suhu bilik kekal nyaman tanpa terlalu lama terdedah kepada udara sejuk. Langkah ini bukan sahaja baik untuk kesihatan malah dapat membantu untuk menjimatkan penggunaan elektrik.
5. Sakit kepala dan sinus
Kesan lain yang sering diabaikan ialah sakit kepala dan tekanan pada bahagian muka akibat sinus yang sensitif terhadap angin sejuk.
Ini berlaku apabila angin dari kipas atau aircond terus terkena pada muka semasa tidur. Bangun pagi dengan kepala berat dan hidung tersumbat bukan permulaan hari yang ideal.
Sebagai langkah pencegahan, ubah arah kipas atau halakan muncung aircond ke bahagian dinding atau siling dan bukan secara langsung ke arah muka.
Anda juga boleh menggunakan bantal tambahan sebagai pelindung atau penghadang bagi mengurangkan pendedahan angin sejuk kepada muka sepanjang malam.
Sebagai kesimpulan, aircond dan kipas bukanlah musuh. Malah ia sangat membantu untuk keselesaan tidur lebih-lebih lagi dalam iklim tropika.
Tetapi penggunaan tanpa kawalan boleh menyebabkan tubuh ‘terpaksa membayar harga’ dalam bentuk masalah kesihatan yang tak dijangka.
Gunakan secara bijak. Kawal suhu, jaga kebersihan, dan ambil langkah pencegahan kecil seperti guna timer atau selimut.
Ingat, tidur yang lena bukan hanya tentang rasa sejuk tetapi ia juga tentang menjaga keseimbangan kesihatan tubuh sepanjang malam.
Sumber : healthline, amerisleep