5 Tip Untuk Elak Televisyen Rosak Akibat Kilat
Cuaca yang sering berubah-ubah dengan hujan lebat disertai kilat yang kerap melanda negara kita boleh membawa impak serius kepada keselamatan rumah terutamanya pada peralatan elektrik seperti televisyen.
Ramai pemilik rumah tidak menyedari bahawa sambaran petir bukan sahaja berbahaya kepada struktur bangunan tetapi ia juga berisiko tinggi merosakkan peranti elektronik yang sensitif seperti TV.
Sambaran petir boleh menghasilkan lonjakan arus elektrik yang sangat kuat dan secara tiba-tiba. Arus ini boleh ‘mengembara’ melalui sistem pendawaian elektrik atau talian antena dan internet sebelum masuk ke dalam rumah dan merosakkan papan litar dalam peralatan seperti televisyen.
Dalam beberapa kes, bukan sahaja TV yang rosak malah peranti yang berkaitan seperti decoder, soundbar, atau konsol permainan yang disambungkan turut terjejas.
Bagi mengelakkan risiko kerosakan ini, berikut kami kongsikan beberapa tip dan langkah pencegahan yang boleh anda amalkan untuk elak televisyen anda rosak akibat terkena kilat:
1. Cabut palam TV semasa ribut petir
Pertama sekali, langkah paling asas untuk melindungi televisyen anda daripada kerosakan akibat sambaran petir adalah dengan mencabut palam kuasa TV dari soket elektrik.
Lakukan tindakan ini sebaik sahaja hujan lebat disertai kilat mula kedengaran. Walaupun TV dalam keadaan mati, ia masih terhubung dengan bekalan elektrik. Sambaran petir boleh menyebabkan lonjakan arus yang masuk melalui sambungan tersebut.
Lonjakan arus ini boleh menyebabkan kerosakan serius pada komponen elektronik dalaman TV.
Selain itu, jangan lupa untuk mencabut juga kabel lain yang bersambung seperti kabel antena, HDMI, atau kabel internet kerana petir juga boleh masuk melalui talian-talian ini dan menyebabkan kerosakan kepada peranti tersebut.
2. Gunakan Surge Protector berkualiti tinggi
Penggunaan surge protector atau alat pelindung lonjakan arus juga merupakan salah satu cara yang efektif untuk mengurangkan risiko kerosakan peralatan elektrik akibat lonjakan voltan.
Surge protector bertindak sebagai pelindung yang akan menyerap lebihan arus elektrik dan menghalangnya daripada masuk ke peranti elektronik seperti televisyen.
Namun, pastikan anda memilih surge protector yang berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri perlindungan yang memadai serta disahkan mengikut piawaian keselamatan yang diiktiraf.
Walaupun ia dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat lonjakan arus biasa, surge protector mungkin tidak cukup kuat untuk menahan kesan langsung sambaran petir yang sangat kuat.
Jadi, ia sebaiknya digabungkan dengan langkah perlindungan yang lain.
3. Pasang sistem perlindungan petir
Bagi rumah yang terletak di kawasan yang kerap mengalami ribut petir, memasang sistem perlindungan petir seperti lightning arrestor boleh menjadi pelaburan yang sangat bernilai.
Sistem ini berfungsi untuk mengalihkan arus elektrik yang berlebihan akibat sambaran petir terus ke bumi. Ia dilakukan melalui pendawaian khas sebelum arus tersebut sempat memasuki rangkaian elektrik di dalam rumah.
Dengan cara ini, risiko kerosakan peralatan elektrik termasuk televisyen dapat diminimakan dengan ketara. Walaupun kos pemasangan sistem ini agak tinggi, ia adalah satu langkah proaktif yang boleh mengelakkan kerugian besar.
Ia juga dapat memastikan keselamatan semua orang di rumah terutama apabila ribut petir berlaku secara kerap dan kuat.
BACA : 6 Tanda Anda Perlu Servis Segera Peti Ais
4. Elakkan menonton TV semasa kilat
Selain risiko kerosakan peralatan elektronik, menonton televisyen semasa ribut petir juga boleh membahayakan keselamatan pengguna.
Apabila kilat menyambar, arus elektrik menjadi tidak stabil dan boleh meresap ke dalam sistem rumah. Keadaan ini boleh menyebabkan kejutan elektrik yang berbahaya terutama jika peranti anda disambungkan dengan kabel luar seperti antena atau satelit.
Oleh itu, adalah lebih selamat untuk mematikan televisyen dan mencabut semua sambungan sebelum ribut bermula.
Elakkan juga dari menggunakan peralatan elektrik yang lain sepanjang tempoh ribut petir untuk mengurangkan risiko kecederaan dan kerosakan.
5. Gunakan perkhidmatan Pakar Elektrik Profesional
Jika anda mendapati televisyen atau peralatan elektrik yang lain sering mengalami kerosakan selepas ribut petir, ini mungkin menunjukkan sistem pendawaian atau penebatan rumah anda tidak cukup efektif untuk menahan lonjakan arus elektrik.
Dalam situasi ini, adalah bijak untuk mendapatkan khidmat pakar elektrik atau kontraktor yang bertauliah bagi memeriksa dan menilai keadaan sistem pendawaian rumah.
Mereka boleh mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan seperti pemasangan sistem earthing yang lebih baik. Selain itu, mereka juga boleh menyarankan peralatan perlindungan tambahan yang sesuai.
Ini untuk memastikan peralatan elektronik anda dilindungi secara optimum daripada risiko sambaran petir dan lonjakan arus elektrik.
Televisyen moden kini bukan sekadar alat tontonan semata-mata. Ia juga berfungsi sebagai pusat hiburan utama di rumah dengan pelbagai sambungan pintar dan teknologi canggih.
Oleh itu, kerosakan akibat kilat bukan sahaja menyebabkan kerugian dari segi kos, malah menjejaskan keselesaan harian.
Langkah-langkah pencegahan seperti berikut merupakan tindakan yang mudah untuk diamalkan. Namun, ia sangat penting bagi memastikan televisyen anda kekal selamat walaupun cuaca di luar tidak menentu.