Siakap Keli
Saudara Kembar MCKK
Kredit: Facebook Saarani Mohamad

Kembar MCKK Dapat Anugerah Dalam Pertandingan Di AS

Kembar MCKK Dapat Anugerah Dalam Pertandingan Di AS

Adik-beradik kembar, Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin,  yang merupakan pelajar tingkatan 3 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai 5,000 USD (kira-kira RM21,250) selepas memenangi Special Award yang dinugerahkan oleh Oracle Academy dalam kategori System Software.

Pertandingan inovasi paling berprestij dunia ini dikenali sebagai Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2025, berlangsung di Columbus, Ohio, Amerika Syarikat.

Kejayaan luar biasa ini meletakkan saudara kembar tersebut sebaris dengan para penyelidik muda terbaik dari lebih 70 buah negara.

“Luar biasa anak muda. Semoga terus berinovasi untuk masa depan dan terus banggakan Negeri Perak & Malaysia,” kata Saarani.

Saudara Kembar MCKK
Gambar: Saarani Mohamad via Facebook

Last Chance Groceries yang menarik perhatian juri

Mereka berjaya menarik perhatian juri antarabangsa dengan projek inovatif yang dinamakan “Last Chance Groceries”. Ia merupakan sebuah aplikasi pintar yang dibangunkan khusus untuk menangani krisis pembaziran barangan runcit di Malaysia.

Tidak sama seperti sistem antarabangsa lain yang cenderung memfokuskan kepada lebihan makanan restoran, aplikasi ini mengetengahkan pendekatan unik.

Ia menjadi platform perintis yang memfokuskan sepenuhnya kepada lebihan barangan runcit yang hampir tamat tempoh.

Melalui tawaran diskaun antara 30% hingga 90%, aplikasi ini memberi peluang kepada pengguna untuk mendapat akses kepada makanan asas dengan harga yang rendah.

Sekaligus, “Last Chance Groceries” dapat menangani masalah pembaziran makanan yang kian meruncing di negara ini.

Saudara Kembar MCKK
Gambar: Saarani Mohamad via Facebook

Peluang berharga yang ditawarkan oleh ISEF

Regeneron ISEF merupakan pertandingan penyelidikan STEM pra-kolej terbesar di dunia yang dianjurkan oleh Society for Science.

Pada tahun ini, ISEF diadakan di Greater Columbus Convention Center dari 10 hingga 16 Mei 2025.

Lebih 1,600 pelajar dari 75 negara, wilayah dan kawasan berkumpul untuk mempamerkan projek-projek sains dan kejuruteraan mereka yang menakjubkan.

ISEF menyediakan platform untuk pelajar membentangkan idea asli dan bertanding memenangi hadiah hampir 9 juta USD, biasiswa dan latihan amali merentas 22 disiplin STEM.

Anugerah yang dimenangi oleh Anas dan Amir adalah salah satu anugerah khas yang disampaikan oleh Oracle Academy.

Oracle Academy merupakan cabang pendidikan Oracle yang menyokong pendidikan pengkomputeran dan pembangunan kemahiran dalam bidang teknologi di seluruh dunia.

Anugerah ini diberikan kepada projek yang menunjukkan inovasi dalam pembangunan perisian dan kesan sosial yang mendalam.

Kejayaan adik-beradik muda ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja untuk warga MCKK, malah untuk seluruh rakyat Malaysia.

Mereka membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk menghasilkan idea bernas yang boleh memberi impak global.

Sekadar info, pada tahun lalu mereka pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024.

BACA: Saudara Kembar Menang Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024

BACA: Pandu E-Hailing 15 Jam Sehari Demi Sara Anak, Bapa Meninggal Akibat Strok

BACA: Masjidil Haram Guna Sistem Penyejukan Terbesar Dunia Sempena Musim Haji

Sumber: Saarani Mohamad via Facebook, MCKK, Society For Science

Siti Nur Ain Natasya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.