Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Petronas Dijangka Kurangkan Lebih 5,000 Pekerja
KUALA LUMPUR — Syarikat minyak dan gas milik negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diramal melakukan pengurangan 10 peratus tenaga kerjanya susulan kos susutan harga minyak mentah merosot, lapor AWANI.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang juga Presiden Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, penyusunan semula seluruh syarikat itu termasuklah lebih daripada 5,000 pekerja yang terjejas.
Bagaimanapun, pekerja yang terjejas itu akan hanya akan diberitahu menjelang hujung tahun ini.
Dengan pasaran minyak semasa, Tengku Muhammad Taufik menyatakan sukar untuk memenuhi sasaran dividen, impaknya margin dijangka semakin dikecilkan.
Dalam pada itu, Bloomberg pada hari ini melaporkan kejatuhan harga minyak dan pengeluaran yang berkurangan daripada aset lama bakal menimbulkan cabaran buat kerajaan, yang memperoleh 10 peratus hasil negara daripada Petronas pada 2024.
Petronas yang juga pengeluar tenaga utama negara, bukan sahaja menjadi tunjang kepada sektor tenaga, malah turut menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara melalui pembayaran infrastruktur, pendidikan dan program sosial melalui dividen dan cukai.
Tambah beliau, Petronas merancang belanjawan berdasarkan harga minyak Brent sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 setong.
Namun begitu, harga penanda aras global kini berada hampir pada paras AS$65 setong, menurun sekitar 13 peratus sejak awal tahun akibat ketegangan perdagangan global yang menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi serta pemulihan pengeluaran OPEC+.
Akibat daripada tekanan pasaran ini, pendapatan bersih Petronas mencatatkan penyusutan sebanyak 32 peratus pada tahun 2024, selepas penurunan 21 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Sumber: Astro AWANI