Siakap Keli
Maritim Malaysia Santuni Komuniti Temerlok, RM1 Juta Disalurkan Bagi Tujuan Pembangunan
Gambar Hiasan

Maritim Malaysia Santuni Komuniti Temerlok, RM1 Juta Disalurkan Bagi Tujuan Pembangunan

Maritim Malaysia Santuni Komuniti Temerlok, RM1 Juta Disalurkan Bagi Tujuan Pembangunan

TRONG, 10 Jun – Kampung Temerlok di Trong, Perak hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila menerima suntikan pembangunan bernilai RM1 juta menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, komitmen Agensi ini tidak hanya terhad di lautan, tetapi kini diperluas ke daratan dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat luar bandar yang memerlukan perhatian.

Maritim Malaysia hari ini membuktikan bahawa peranan kami bukan sekadar menjaga keselamatan di laut, tetapi juga menyentuh hati rakyat melalui program kemasyarakatan dan projek komuniti bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Korban dan Kerohanian APMM sempena Kampung Angkat MADANI di Kampung Temerlok, di sini pagi tadi.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialahPengarah Bahagian Perisikan (MIND) Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Md Fauzi bin Othman, Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh, Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri bin Khotob, serta pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran pemimpin setempat iaitu YBrs. Ahmad Jais bin Rofiee, Penghulu Tertinggi Daerah Larut, Matang dan Selama, YBrs. En Shahrul Nizam bin Abdul Rasid, Penghulu Mukim Trong, YBrs. En Mohd Tahir bin Mohd Khalid, Ketua Kampung Temerlok dan YBrs. En Abu Hashim bin Abu Yazid, Ketua Kampung Tebok.

Lima projek utama akan direalisasikan di bawah inisiatif peruntukan khas Kementerian Kewangan ini adalah merangkumi kerja-kerja pembinaan dan pembaikan Jeti Nelayan Sungai Tok Lin yang menjadi nadi ekonomi nelayan tempatan, pembaikan bumbung Sekolah Agama Rakyat Al-Mahmudiah bagi meningkatkan keselesaan pembelajaran, pembaikan Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Temerlok, pembaikan dan penyelenggaraan Masjid Al Mahmudiah dan pembersihan kawasan masjid serta tapak perkuburan Islam.

Pihak Maritim Malaysia dan penduduk kampung juga mengadakan gotong royong membersihkan kawasan kampung, kawasan masjid lama dan tanah perkuburan Islam di sana.

Selain itu, Masjid Al-Mahmudiah turut menerima sumbangan dua buah unit penghawa dingin yang diletakkan di bilik mesyuarat Masjid tersebut.

Lebih 150 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dari Ibu Pejabat serta Maritim Negeri Perak berganding bahu bersama penduduk dalam gotong-royong komuniti, menjadikan majlis ini lebih bermakna dan penuh semangat kebersamaan.

Bersempena sambutan Aidiladha, Maritim Malaysia turut menyumbangkan tiga ekor lembu untuk ibadah korban untuk diagihkan kepada 200 orang penduduk kampung terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.

“Program hari ini membawa mesej jelas, bahawa agensi penguat kuasa seperti Maritim Malaysia turut memainkan peranan sosial dalam menyemai semangat perpaduan dan memperjuangkan kesejahteraan komuniti,” ujar Datuk Haji Mohd Rosli.

Beliau turut menegaskan bahawa, usaha ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, keadilan sosial dan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian mock-up sumbangan penghawa dingin kepada wakil Masjid Al-Mahmudiah, penyerahan cenderahati kepada penghulu dan ketua kampung serta lawatan ke tapak projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI ini bukan sekadar satu program bantuan, tetapi lambang keikhlasan agensi kerajaan dalam menyantuni rakyat dengan pendekatan mesra dan berimpak tinggi.

Kerajaan MADANI bersama agensi pelaksana seperti Maritim Malaysia terus membuktikan bahawa kemajuan bukan hanya di kota, tetapi turut dipacu hingga ke desa.

Pada hari ini, Kampung Temerlok menjadi bukti nyata bahawa suara rakyat di pinggir negara tidak pernah diabaikan, malah diberi perhatian demi kesejahteraan semua.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.