Siakap Keli
video kamera papan pemuka
Kredit: Bernama

Nahas Bas Gerik: Rakaman Video Kamera Papan Pemuka Bahan Utama Siasatan

Nahas Bas Gerik: Rakaman Video Kamera Papan Pemuka Bahan Utama Siasatan

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) – Ketika gema takbir Aidiladha masih berkumandang di seluruh negara, suasana hari ini bertukar menjadi episod duka apabila 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, awal pagi tadi.

Tragedi menggemparkan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak itu turut mengakibatkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

Satu rakaman video daripada kamera papan pemuka berdurasi lebih 40 saat, yang kini tular di media sosial, memaparkan detik cemas ketika bas berkenaan dilihat memotong sebuah kenderaan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan. Video tersebut kini menjadi bahan penting dalam siasatan.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan pihaknya telah menerima rakaman itu dan akan merakam keterangan pemilik video dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada siasatan menyeluruh terhadap punca nahas.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat bas terbabit bagi membantu siasatan serta tindakan susulan.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedang menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap bas serta syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Tindakan tegas akan diambil selepas siasatan selesai. Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tragedi itu turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang bertitah bahawa langkah preventif perlu dilaksanakan segera berikutan kekerapan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mutakhir ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata baginda bertitah perkara itu perlu dijadikan pengajaran bagi mengenal pasti kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan, terutamanya dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian seperti itu dapat dielakkan daripada berulang.

Perkara yang sama turut disuarakan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun, yang menyifatkan tragedi itu sebagai kecemasan nasional yang memerlukan tindakan drastik dan menyeluruh.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pula menggesa semua pengusaha pengangkutan awam agar memperketat pelaksanaan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), demi melindungi pekerja serta penumpang.

Dalam usaha meringankan beban keluarga mangsa, Kerajaan Terengganu mengumumkan akan menanggung sepenuhnya kos pengebumian mangsa selain menyediakan sokongan psikososial.

Konvoi van jenazah membawa 13 daripada pelajar yang maut dalam kemalangan itu meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, menuju ke Jertih, Terengganu, pada kira-kira 8.55 malam. Van jenazah membawa dua lagi pelajar yang maut bergerak dari Hospital Gerik pada 6.30 petang.

Difahamkan, setibanya di Jertih, kesemua jenazah akan disolatkan sekali lagi di Masjid Hadhari sebelum disemadikan di tanah perkuburan kampung masing-masing.

Pelajar yang terkorban ialah Fakhrul Arif Rosdi, 20; Anis Soffiyya Md Zaidi, 20; Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21; Sufea Adela Maslihaizan, 21; Mohammad Aqil Taqiudin, 21; Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21; dan Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21.

Turut terkorban ialah Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Muhammad Mustaqim Rosde, 21; Nor Ayuni Maslan, 21; Muhammad Adib Hazim Halim, 21; Fatin Nasrien Fadli, 22; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22; Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22; dan Nurly Sahirah Azman, 23.

Lebih menyentuh hati, seramai 160 pelajar UPSI memulakan perjalanan dari Tanjong Malim ke Jertih untuk memberikan penghormatan terakhir kepada rakan-rakan mereka.

Sumber: Bernama

BACA: Nahas Bas UPSI: APAD Keluar Surat Tunjuk Sebab Kepada Syarikat Bas Terlibat

BACA: Kronologi Kemalangan Bas Ragut 15 Nyawa Pelajar UPSI

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.