Bintang “Mind Your Language” Kelahiran Pulau Pinang, Lim Pik-Sen Meninggal Dunia
Pelakon veteran kelahiran Pulau Pinang, Lim Pik-Sen meninggal dunia pada Isnin. Berita duka itu disampaikan oleh pengarah filem berdarah Singapura, Daniel York Loh di laman Facebook peribadinya.
Lim, 80, merupakan antara pelakon Asia paling dikenali di televisyen Britain pada era 1970-an dan 1980-an. Beliau tiba di Britain sebagai remaja pada awal 1960-an dan memulakan kerjaya lakonan tidak lama selepas itu.
Pada awal 1964, Lim menyertai produksi The Bacchae di Mermaid Theatre arahan Bernard Miles. Antara peranan awalnya termasuk watak Jururawat Kwei dalam drama perubatan Emergency-Ward 10 di saluran ITV.
Ketika penggambaran drama tersebut, beliau bertemu suaminya, penulis skrip Don Houghton. Lim kemudian membintangi siri pengembaraan kanak-kanak The Flaxton Boys hasil karya suaminya. Drama tersebut bersiaran dari 1969 sehingga 1973.
Beliau turut berlakon dalam drama Doctor Who di episod The Mind of Evil yang turut ditulis Houghton dan disiarkan pada 1971.
Walaupun sering tampil dalam watak serius, Lim lebih dikenali menerusi genre komedi. Beliau membintangi sitkom BBC, Sorry I’m Single pada tahun 1967. Namun, watak paling diingati ialah Su-Lee dalam sitkom Mind Your Language terbitan ITV sekitar 1978 hingga 1979. Watak Su-Lee digambarkan sebagai ahli Parti Komunis China yang mengikuti kelas Bahasa Inggeris.

Sepanjang kerjayanya, Lim terlibat dalam pelbagai produksi filem dan televisyen di Britain.
Antaranya termasuk filem Madame Sin bersama Bette Davis pada tahun 1972 dan Cream in My Coffee tulisan Dennis Potter pada tahun 1980. Lim juga pernah muncul dalam drama Albion Market, Shoestring dan The Professionals.
Pada tahun 1985, beliau membintangi filem Plenty hasil tulisan David Hare. Sekitar tahun 1997, beliau muncul dalam Cracker: White Ghost dan siri popular Little Britain.
Pada tahun 2002, beliau sekali lagi membintangi filem komedi Miranda arahan Mark Munden.
Anaknya, Sarah Houghton, turut mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon.
Lim Pik-Sen dikenang sebagai perintis pelakon wanita Asia dalam industri hiburan Britain.
Sumber: Daniel Y Loh, BFI Screenonline
BACA: Jemaah Haji Malaysia Ke-11 Meninggal Dunia Di Tanah Suci
BACA: Harsheetaa Meninggal Dunia Akibat Kegagalan Organ, Sepsis – Bapa