Trump Gesa Iran Setuju Buat Perjanjian Nuklear
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Iran untuk bersetuju membuat perjanjian berkaitan program nuklearnya, sambil memberi amaran bahawa serangan lebih kejam bakal menyusul, lapor AFP.
Kenyataan Trump itu dibuat dalam platform Truth Social miliknya selepas Israel menggempur Iran dalam beberapa siri serangan udara pada Jumaat.
Operasi itu meragut nyawa tokoh-tokoh kanan termasuk ketua angkatan tentera dan saintis nuklear terkemuka dan Iran menyifatkan siri serangan Israel itu sebagai satu “pengisytiharan perang.”
“Saya memberi Iran peluang demi peluang untuk membuat perjanjian.
“Sudah banyak kematian dan kemusnahan berlaku, namun masih ada masa untuk hentikan pembunuhan ini, dengan serangan seterusnya yang telah dirancang dijangka lebih kejam.
“Iran mesti membuat perjanjian sebelum semuanya musnah, lakukannya sebelum terlambat,” kata Trump.
BACA JUGA: 78 Terbunuh, 329 Cedera Dalam Serangan Udara Israel Di Tehran
Trump sebelum ini memberitahu Fox News bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai serangan Israel sebelum ia berlaku, dan menegaskan bahawa Tehran “tidak boleh memiliki bom nuklear,” lapor penyiar AS itu.
“Kami berharap dapat kembali ke meja rundingan,” kata Trump seperti yang dilapor oleh Fox News.
Ketika penggal pertama Trump, beliau menarik AS keluar daripada perjanjian bersejarah yang memberi kelonggaran sekatan terhadap Iran sebagai pertukaran kepada sekatan ke atas program nuklearnya.
Fox News turut melaporkan bahawa pentadbiran Trump telah menghubungi sekurang-kurangnya satu sekutu utama di Timur Tengah untuk memaklumkan bahawa serangan itu akan berlaku, namun menegaskan bahawa AS tidak terlibat.
“Trump menyatakan bahawa AS bersedia untuk mempertahankan dirinya dan Israel sekiranya Iran bertindak balas,” lapor Fox News.
Setiausaha Negara, Marco Rubio, turut berkata pada Khamis bahawa AS tidak terlibat dalam serangan terhadap Iran dan keutamaan mereka adalah melindungi pasukan Amerika di rantau tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan bahawa Iran telah mula mengambil langkah pertahanan, politik dan perundangan bagi memastikan Israel “menyesal atas serangannya” dan tidak akan memberinya “walau sedetik ketenangan.”
Setakat ini, 78 orang dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel itu dan 329 lagi mengalami kecederaan.
Sumber: AFP