Harga Minyak Global Melonjak Berikutan Konflik di Kawasan Selat Hormuz – Petronas
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Harga minyak global melonjak berikutan jangkaan berlaku kejutan bekalan akibat konflik yang semakin memuncak di sekitar kawasan Selat Hormuz, menurut Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.97 peratus kepada US$74.95 setong.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata kenaikan harga semasa adalah antara yang paling ketara sejak krisis tenaga pada 2022.
“Perkara ini berlaku ketika dunia masih bergelut dengan ancaman tarif balas.
“Walaupun kita belum dapat menilai dengan tepat impak sebenar daripada semua peristiwa ini, sistem tenaga global yang telah mengalami tekanan daripada perkembangan semula jadi tamadun kita, sememangnya berisiko besar,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.
Mengenai hala tuju Asia ke arah pelepasan karbon sifar bersih, Tengku Muhammad Taufik berkata bagi mencapai matlamat ini. akan memerlukan pelaburan tenaga sebanyak US$88.7 trilion (US$1 RM4.24) menjelang 2050.
Beliau menekankan bahawa pelaburan dan perbelanjaan dalam sistem tenaga konvensional dan boleh baharu masih diperlukan.
“Tenaga merupakan nadi kepada ekonomi, oleh itu pelaburan adalah kritikal bagi memastikan ketersediaan dan kemampuan tenaga.
“Kerajaan, institusi kewangan dan industri perlu bekerjasama melaksanakan dasar dan kerangka kerja yang membantu membuka akses kepada modal untuk projek tenaga, terutama yang diperlukan dalam ekonomi sedang pesat membangun dan membangun,” katanya.
Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik berkata dunia berada dalam ambang revolusi perindustrian kelima, memandangkan kecerdasan buatan dengan pantas menjadi teknologi asas yang amat diperlukan di semua sektor.
Beliau menjangkakan permintaan elektrik daripada pusat data akan mencecah 945 terawatt jam (TWh) di peringkat global menjelang 2030, lebih dua kali ganda daripada 415 TWh pada 2024 dan mewakili lebih 20 peratus daripada pertumbuhan jumlah permintaan dalam tempoh berkenaan.
“Seluruh sistem tenaga yang ada pada masa ini sedang berusaha untuk memenuhi lonjakan permintaan ini.
“Semua ini berlaku ketika kita masih menyesuaikan diri dengan pengurangan yang ketara dalam dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang mengancam untuk menjejaskan matlamat sifar bersih yang telah diusahakan oleh dunia sejak Perjanjian Paris.
“Perubahan besar daripada konflik global, pendedahan teknologi dan perubahan iklim ini telah menunjukkan apa yang digambarkan oleh Petronas sebagai ‘polikrisis’, yang membentuk sentimen dan konteks utama persidangan perhimpunan kita hari ini,” katanya.
Energy Asia 2025 akan membawakan lebih 180 penceramah terkenal di seluruh dunia melalui lebih 50 dialog strategik yang merangkumi tujuh sub-tema.
Persidangan berkenaan akan menilai usaha kerjasama antara negara-negara Asia yang boleh memperkukuh keselamatan tenaga, menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, melaksanakan penyelesaian penyahkarbonan, memudahkan pemindahan teknologi serta merangsang pembangunan ekonomi dan sosioekonomi.
BACA: Tiada Keperluan Bubar Kementerian Ekonomi – PM Anwar
BACA: Malaysia Hubungi Iran Minta Laluan Selat Hormuz Tidak Ditutup – Mohamad
BACA: Ketahui Sebab Dunia ‘Kecoh’ Bila Iran Ugut Tutup Selat Hormuz
Sumber: BERNAMA