Siakap Keli
Hari Landskap Negara 2025: Menyemarakkan Industri Landskap Negara

Hari Landskap Negara 2025: Menyemarakkan Industri Landskap Negara

Hari Landskap Negara 2025: Menyemarakkan Industri Landskap Negara

PUTRAJAYA, 17 JUN 2025 – YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyempurnakan Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2025 (HLN 2025) bertempat di Taman Persahabatan China-Malaysia, Putrajaya pagi ini.

Sambutan HLN 2025 yang memasuki edisi ke-26 ini bermula sejak penganjuran kali pertama pada 3 Mac 1998 di Taman Alam, Kuala Selangor susulan Pelancaran Kempen Tanam Pokok (KTP) pada 3 Mac 1997 yang menggalakkan penanaman pokok teduhan khususnya di kawasan bandar. Hari Landskap Negara merupakan manifestasi penghargaan negara terhadap peranan landskap dalam membentuk persekitaran hidup yang sihat dan sejahtera.

Sambutan HLN 2025 akan berlangsung selama enam (6) hari bermula 25 hingga 30 Jun 2025 di Taman Bandar Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor melibatkan kerjasama Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). Istimewanya pada tahun ini apabila Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2025 yang dijadualkan pada 26 Jun 2025 (Khamis).

Penganjuran HLN 2025 bertujuan meningkatkan kesedaran awam, terutamanya di kalangan generasi muda terhadap peranan landskap dalam memperkukuh kesejahteraan kehidupan. Ia juga berperanan menyokong pembangunan landskap negara yang mampan menjelang 2035.

Bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI’, HLN 2025 menekankan tentang potensi besar industri landskap sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara yang merangkumi subsektor pembinaan, perkhidmatan, pembuatan, pengeluaran bahan tanaman dan peruncitan landskap. Ia sejajar dengan tonggak MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta.

Pemilihan tema ini mencerminkan kesinambungan usaha jitu Jabatan Landskap Negara sebagai agensi peneraju Pembangunan Landskap Negara untuk memperkasakan industri landskap sebagai sumber ekonomi baharu, dengan mengumpulkan para penggiat industri landskap di bawah satu acara peringkat kebangsaan.

KPKT melalui JLN sentiasa berusaha untuk memperkasakan usaha-usaha bagi menyokong perkembangan industri landskap negara yang turut menyumbang kepada perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 24 industri berkaitan landskap yang dikenalpasti melalui kod Malaysian Standard Industrial Classification (MSIC), menyumbang sebanyak RM39.4 billion atau 2.0 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2024. Ini mencatatkan peningkatan berbanding RM35.68 billion pada tahun 2023.

Dalam sektor pertanian pula, Banci Pertanian 2024 merekodkan 1,113 pegangan bagi penanaman bunga dan tumbuhan landskap meliputi 45,300 hektar, dengan Johor mencatatkan kawasan terbesar iaitu 39,600 hektar. Manakala dalam sektor pembinaan, sebanyak 20,537 syarikat berdaftar sebagai kontraktor landskap dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang enam (6) hari penganjuran HLN 2025. Antaranya ialah Pertandingan Mural dan Pembinaan Arca, Pameran Lampu Nightscape oleh Luna Wonderland, Persembahan dan Pameran Layang-Layang, Pameran Reka bentuk Indoor Plant, Pertandingan Hiasan  Glamping, Bengkel Terrarium, Program Pasir Gudang Bersih & Lestari, Pertandingan Booth Industri Terbaik, Laman PBT, Dialog Industri dan Pertandingan Photojournalism.

Beberapa anugerah akan turut disampaikan bagi menghargai sumbangan dalam memartabatkan industri landskap negara. Antaranya adalah Anugerah Rosa-sinensis dan Anugerah Landskap bagi kategori Hotel / Resort, Sekolah Menengah / Rendah, Kampung Tradisi dan Kampung Baharu.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Samsudin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); YBrs. Tuan Manso bin Mohamad, Ketua Pengarah, Jabatan Landskap Negara (JLN); serta pegawai- pegawai kanan KPKT dan MBPG.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.