Dua Tapak Nuklear Iran Musnah Dalam Serangan Israel – IAEA
Dua bangunan yang menempatkan tapak pengeluaran komponen sentrifug untuk program nuklear Iran telah musnah di Karaj, iaitu di pinggir ibu negara Tehran, menurut kenyataan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Rabu.
Pengumuman oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dibuat beberapa jam selepas tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan beberapa serangan udara di dalam dan sekitar Tehran.
“IAEA mempunyai maklumat bahawa dua fasiliti pengeluaran sentrifug di Iran, iaitu bengkel TESA Karaj dan Pusat Penyelidikan Tehran, telah diserang,” kata IAEA menerusi satu hantaran di platform X.
“Kedua-dua tapak ini sebelum ini berada di bawah pemantauan dan pengesahan IAEA sebagai sebahagian daripada perjanjian JCPOA,” tambah kenyataan itu, merujuk kepada perjanjian nuklear Iran yang dimeterai pada 2015.
Dalam satu lagi serangan di kawasan Tehran, “sebuah bangunan telah diserang, yang mana ia merupakan lokasi pembuatan dan ujian rotor sentrifug berteknologi tinggi,” jelas agensi itu lagi dalam hantaran di X.
Beberapa jam sebelum itu, kenyataan rasmi tentera Israel mengesahkan serangan udaranya di kawasan Tehran.
“Sebagai sebahagian daripada usaha besar untuk menggagalkan program pembangunan senjata nuklear Iran, sebuah fasiliti pengeluaran sentrifug di Tehran telah menjadi sasaran,” menurut kenyataan tersebut.
Sentrifug memainkan peranan penting dalam proses pengayaan uranium, satu proses sensitif yang boleh menghasilkan bahan api untuk reaktor nuklear atau, jika diproses secara lebih intensif, teras bagi senjata nuklear.
BACA: Iran Arah Rakyatnya Padam WhatsApp, Dakwa Hantar Maklumat Kepada Israel
BACA: Iran Dakwa Guna Peluru Berpandu Hipersonik Serang Israel
BACA: Iran Serang Balas, Siren Kecemasan ‘Bergema’ Di Israel
Sumber: AFP