Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Netanyahu Dakwa Israel Capai Kemenangan Bersejarah

Hannah
israel capai kemenangan
Gambar: AFP

Netanyahu Dakwa Israel Capai Kemenangan Bersejarah

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengisytiharkan “kemenangan bersejarah” pada Selasa selepas mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Iran, sambil menegaskan bahawa musuh utama negaranya itu tidak akan sesekali dibenarkan memiliki senjata nuklear.

Ucapan Netanyahu itu disampaikan kepada rakyatnya, selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan kesediaan negara itu untuk kembali ke meja rundingan berhubung program nuklearnya.

Namun, Pezeshkian tetap menegaskan bahawa Iran akan terus mempertahankan hak sahnya untuk menggunakan tenaga atom bagi tujuan damai.

“Iran tidak akan memiliki senjata nuklear. Kami telah menggagalkan projek nuklear Iran.

“Dan sekiranya ada sesiapa di Iran yang cuba membangunkannya semula, kami akan bertindak dengan tekad dan intensiti yang sama untuk menggagalkan sebarang cubaan,” tegas Netanyahu selepas gencatan senjata menamatkan 12 hari serangan udara dan peluru berpandu yang mengorbankan banyak nyawa antara keduanya.

Serangan Israel akhirnya menarik penglibatan Amerika Syarikat (AS) yang pada Ahad lalu melancarkan serangan ke atas fasiliti nuklear bawah tanah Iran menggunakan bom “bunker-buster” yang tidak dimiliki Israel.

Susulan serangan balas Iran pada malam Isnin yang menyasarkan pangkalan tentera AS di Qatar, Presiden Donald Trump menyeru kepada penamatan konflik dan mengumumkan rangka awal perjanjian gencatan senjata beberapa jam kemudian.

Dalam satu panggilan telefon pada Selasa, Pezeshkian memberitahu rakan sejawatannya dari Emiriah Arab Bersatu agar menjelaskan kepada pihak AS bahawa Republik Islam Iran hanya mahu mempertahankan hak sahnya.

“Iran tidak pernah dan tidak akan berhasrat untuk memiliki senjata nuklear,” katanya kepada agensi berita rasmi IRNA, sambil menambah bahawa Iran “bersedia menyelesaikan isu ini… melalui meja rundingan”.

Matlamat Perang Israel

Israel menjelaskan bahawa perang yang bermula pada 13 Jun itu bertujuan untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, satu dakwaan yang dinafikan oleh Tehran.

Tentera Israel mendakwa serangan mereka telah melambatkan program nuklear Iran selama beberapa tahun dan operasi ketenteraan kini memasuki fasa baharu.

Selepas Trump menegur keras kedua-dua pihak atas pelanggaran awal gencatan pada Selasa, Tehran mengumumkan ia akan mematuhi syarat perjanjian jika Israel turut berbuat demikian. Israel pula mendakwa telah menghentikan sebarang serangan lanjut.

Pengisytiharan Kemenangan

Sebelum Netanyahu berucap, kerajaan Israel menyatakan bahawa tenteranya telah berjaya menghapuskan ancaman eksistensial berganda yang datang daripada program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.

“Kami telah melumpuhkan projek nuklear Iran selama bertahun-tahun, dan perkara yang sama berlaku terhadap program peluru berpandunya,” kata Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Tertinggi Iran berkata bahawa pasukan bersenjata republik itu telah memaksa Israel untuk berundur secara sebelah pihak.

Pengawal Revolusi Iran turut menggelar serangan peluru berpandu terakhir ke atas Israel sebagai satu pengajaran bersejarah dan tidak akan dilupakan.

Serangan ke Atas Pangkalan AS

Serangan Israel menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan, mengorbankan saintis serta pegawai tentera kanan, termasuk beberapa kawasan kediaman, sekali gus mencetuskan serangan peluru berpandu balas dari Iran ke arah Israel.

Walaupun Iran dan Israel telah lama terperangkap dalam “perang bayangan”, konflik kali ini dianggap sebagai yang paling merosakkan setakat ini.

Kemuncak perang itu menyaksikan serangan udara AS ke atas tapak nuklear Iran menggunakan bom pemusnah bunker, disusuli serangan balas Iran ke atas fasiliti tentera terbesar AS di Timur Tengah.

Trump bagaimanapun memperlekeh tindak balas Iran itu sebagai “lemah” sambil mengucapkan terima kasih kerana memberi amaran awal, sebelum mengumumkan garis besar gencatan senjata beberapa jam selepas itu.

“Semua Sudah Penat”

Sebahagian rakyat Israel pada Selasa menyambut baik prospek gencatan senjata.

“Semua orang sudah penat. Kami hanya mahukan ketenangan. Untuk kami, untuk rakyat Iran, untuk rakyat Palestin, untuk semua orang di rantau ini,” kata penduduk Tel Aviv yang berharap gencatan kali ini berkekalan.

Namun di Iran, masih ramai yang ragu-ragu sama ada keamanan akan berkekalan.

Menurut Kementerian Kesihatan Iran, sekurang-kurangnya 610 orang awam Iran terbunuh dan lebih 4,700 cedera akibat serangan Israel.

Serangan balas Iran ke atas Israel pula mengorbankan 28 orang, menurut angka rasmi dan pasukan penyelamat.

Masyarakat antarabangsa menyambut perjanjian gencatan itu dengan penuh harapan tetapi berhati-hati.

Arab Saudi dan Kesatuan Eropah menyambut baik pengumuman Trump, manakala jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Rusia berharap gencatan senjata kali ini dapat berkekalan.

Namun, Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran bahawa terdapat risiko yang meningkat Iran akan cuba memperkaya uranium secara rahsia susulan serangan ke atas tapak nuklearnya.

Dalam rundingan terdahulu, Iran dan AS tidak sependapat berhubung isu pengayaan uranium, yang dianggap Iran sebagai hak mutlak yang tidak boleh dirunding, sementara AS menganggapnya sebagai “garis merah”.

Selepas gencatan diumumkan, Ketua Turus Tentera Israel, Zamir berkata bahawa tumpuan Israel kini akan beralih semula ke Gaza.

Pihak Berkuasa Palestin dan kumpulan utama yang mewakili keluarga tebusan Israel turut menggesa agar gencatan senjata turut dilaksanakan di Gaza, selari dengan gencatan bersama Iran.

BACA: 25 Penduduk Palestin Terbunuh Dipercayai Diserang Tentera Israel Ketika Tunggu Bantuan

BACA: Konflik Iran-Israel: Malaysia Hargai Peranan Qatar Dalam Usaha Gencatan Senjata

BACA: Gencatan Senjata: Trump Beri Amaran Kepada Israel Jangan Serang Iran

Sumber: AFP