Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PM Anwar Luang Masa Naiki Aerotrain KLIA, Kembali Beroperasi Semula Hari Ini
SEPANG — Selepas hampir 28 bulan tergendala perkhidmatan Aerotrain KLIA kembali beroperasi semula pada 1 Julai 2025, hari ini.
Menerusi perkongsian Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa merasai pengalaman menaiki Aerotrain KLIA dari Contact Pier ke bangunan Satellite.
Anwar turut diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani serta pegawai kanan MAHB.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar dijadual merasmikan majlis pelancaran itu di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) di mana sistem perkhidmatan penggerak penumpang automasi tersebut, yang telah dinaik taraf, akan menyambung semula operasi pada 10 pagi.
Fakta Mengenai Aerotrain KLIA
Diangkat sebagai ikon KLIA sejak 1998, perkhidmatan Aerotrain telah menjalani proses baik pulih yang menelan kos sebanyak RM456 juta bagi menggantikan flit dan infrastrukturnya yang sudah uzur di bawah peruntukan RM742 juta Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang MAHB bagi menjamin masa depan antara hab penerbangan tersibuk di rantau ini.
Kini ia dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R yang canggih, sistem itu memiliki tiga unit tanpa pemandu yang mampu membawa sehingga 270 penumpang pada kelajuan 56 kilometer sejam.
Perjalanan antara terminal utama dan bangunan satelit kini dipendekkan kepada kurang daripada tiga minit.
Setiap tren dipasang dengan sistem pemantauan keadaan yang canggih bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi serta keselesaan serta keselamatan penumpang sekali gus menangani kebimbangan sebelum ini mengenai kerosakan yang sering berlaku.
Sistem baharu ini telah menjalani ujian ketat selama enam bulan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) antara Januari dan Jun 2025.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menandatangani dokumen berhubung perkara tersebut
“Tadi saya baru tandatangan dokumen – sah Aerotrain KLIA boleh mula perkhidmatannya semula esok jam 10 pagi!
“Aerotrain ni yang bawa penumpang ulang-alik antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit, supaya perjalanan lebih cepat dan selesa di KLIA Terminal 1.
“Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus siang malam pastikan Aerotrain kembali beroperasi. Jumpa anda di Aerotrain,” katanya.
Sumber: BERNAMA