Belum Sempat Turun Pentas, Pelajar Sekolah Dapat Tawaran Kerja Ketika Konvo
Majlis graduasi sekolah menengah sering menjadi detik istimewa yang dinanti setiap pelajar. Majlis yang menjadi tanda berakhirnya satu fasa pembelajaran ini diraikan bersama keluarga dan guru.
Kebiasaannya, majlis ini diadakan dengan penuh adat dan diserikan dengan ucapan penghargaan, persembahan dan penyampaian sijil. Detik ini juga membuka lembaran baharu buat pelajar melangkah ke dunia pengajian tinggi atau masuk ke alam kerjaya.
Baru-baru ini, tular sebuah video yang merakamkan detik seorang graduan menerima tawaran bekerja sejurus selepas menerima segulung sijil.
Belum sempat Miguel Rodriguez Bermudez turun dari pentas konvokesyen Arts High School Newark, dia dipanggil semula oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Newark, Roger León.
“Miguel, saya ada soalan untuk kamu. Kamu ingin ke (Universiti) William Paterson, betul? Apa yang kamu nak buat jika ke sana?” tanya León.
“Saya ingin menjadi guru muzik di Sekolah-Sekolah Awam Newark,” jawab pelajar berkenaan.
Sejurus selepas menjawab pertanyaan tersebut, pelajar tersebut dikejutkan dengan tawaran sebagai guru kontrak di Sekolah-Sekolah Awam Newark.
Menurut Newark Board of Education, seramai 34 orang graduan telah ditawarkan kontrak sebagai bakal guru dengan tawaran bernilai USD74,000 (RM311,725) setahun.
Kontrak bersyarat tersebut memerlukan setiap pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan memperoleh tauliah sebagai guru di New Jersey, menurut New York Post.
Selepas menamatkan pengajian di peringkat lebih tinggi, para pelajar berkenaan akan kembali ke Sekolah-Sekolah Awam Newark untuk mengajar dengan gaji yang bernilai dua kali ganda berbanding purata gaji permulaan di sana.
“Kontrak ini melambangkan pelaburan kami terhadap bakat tempatan dan strategi jangka panjang dalam membina barisan guru yang memahami pelajar kami. Hari ini, kita bukan sahaja meraikan graduan, malah menyambut rakan sekerja pada masa hadapan,” ujar León.
Rakaman yang tular itu diakhiri dengan penyerahan plak kontrak kepada Miguel.
“Tuan-tuan dan puan-puan, ini kontrak bernilai USD74,000 untuk Miguel Rodriguez Bermudez,” umum León.
León turut memaklumkan kepada pelajar berkenaan bahawa dokumen rasmi akan diserahkan kemudian apabila namanya dipanggil untuk menerima diploma.
Menerusi majlis berkenaan, León turut menyampaikan penghargaan buat ibu kepada Miguel yang membesarkan anaknya sendirian sebagai ibu tunggal.
“Perkara ini berlaku disebabkan ibu tunggal kamu dan segala pengorbanan yang beliau lakukan. Kepada semua ibu tunggal di luar sana, teruskan usaha kerana kejayaan pasti datang,” ucap beliau.
https://www.facebook.com/watch/?extid=CL-UNK-UNK-UNK-IOS_GK0T-GK1C&v=1408311326877132
Sumber: Newark Board of Education, New York Post
BACA: Azhan Rani Kenang Watak Dalam Drama Nur, Sentuh Isu Halau Jemaah Surau
BACA: Sekali Tebar, Lelaki ‘Borong’ Lauk Ikan Seminggu Di Tepi Pantai