Bagi kebanyakan pelajar, perjalanan ke sekolah mungkin hanya mengambil masa beberapa minit dengan motosikal, kereta atau bas.
Namun, bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, perjalanan ke sekolah boleh menjadi satu rutin yang memerlukan masa lebih panjang.
'Naik' kereta api bersama pelajar sekolah pedalaman Kelantan
Di Kelantan, terdapat perkhidmatan kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membantu memudahkan perjalanan pelajar dari beberapa kampung pedalaman untuk ke sekolah di Dabong.
Menariknya, perkhidmatan ini sudah mula beroperasi seawal jam 3.50 pagi ketika kebanyakan orang masih lena di rumah.
Perkara itu turut dikongsikan seorang pengguna TikTok dari Indonesia, @momochtaufik, yang berpeluang merasai sendiri perjalanan menaiki kereta api KTMB bersama para pelajar.
Perkongsian tersebut memperlihatkan rutin harian mereka sepanjang perjalanan ke sekolah.
Tempuh perjalanan hingga 30 kilometer
Setiap hari, kira-kira 150 pelajar dari Kampung Slow Temiang, Kampung Slow Pok Long, Bukit Abu dan Kuala Gris menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan.
Mereka menempuh perjalanan sekitar 15 hingga 30 kilometer untuk menuju ke sekolah yang terletak di Dabong, termasuk perjalanan merentasi kawasan pedalaman.

Bagi pelajar yang perlu berulang-alik menggunakan perkhidmatan tersebut, kos perjalanan juga tidak menjadi beban kerana mereka diberikan pas bulanan secara percuma.

Kemudahan itu membolehkan pelajar menaiki kereta api untuk perjalanan pergi dan balik tanpa perlu membayar tambang.

Ada yang menyiapkan kerja sekolah, ada juga sambung tidur
Disebabkan perjalanan bermula seawal pagi, suasana di dalam kereta api memperlihatkan pelbagai rutin pelajar.
Ada yang mengambil kesempatan untuk membaca buku, ada yang menyiapkan kerja sekolah dan ada juga yang memilih untuk menyambung tidur sementara dalam perjalanan.

Rutin tersebut mungkin kelihatan biasa bagi mereka yang menggunakannya setiap hari, namun pengalaman itu memberikan gambaran tentang kehidupan pelajar yang tinggal jauh dari sekolah.
Sampai stesen, jalan kaki 300 meter
Selepas tiba di Stesen Dabong, perjalanan mereka masih belum berakhir.
Para pelajar perlu berjalan kaki kira-kira 300 meter untuk sampai ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong.

Selepas tamat sesi persekolahan pula, mereka akan kembali ke stesen untuk menaiki kereta api yang sama sekitar jam 3 petang bagi meneruskan perjalanan pulang ke kampung masing-masing.
Usaha Negeri Kelantan mudahkan perjalanan pelajar
Kemudahan kereta api ini bukan sekadar memudahkan perjalanan harian, malah membantu pelajar di kawasan pedalaman mendapatkan akses ke sekolah dengan lebih mudah.
Dengan penyediaan pas bulanan percuma untuk pelajar, usaha Negeri Kelantan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan sebegini wajar dihargai, khususnya dalam membantu memastikan faktor jarak dan kos perjalanan tidak menjadi penghalang untuk mereka ke sekolah.
‘Ghost Train’ jadi nadi pengangkutan pelajar
Menurut laporan Bernama, tren pagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Keretapi Kuala Gris yang lebih dikenali sebagai ‘Ghost Train’ bukan sekadar menjadi pengangkutan, malah sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian pelajar sekolah pedalaman di Dabong.
Tren berkenaan dipenuhi pelajar yang menetap di kawasan pedalaman untuk memulakan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, terutama pada awal pagi ketika kawasan sekitar masih diselubungi kabus.
Gelaran ‘Ghost Train’ sudah lama menjadi sebutan penduduk dan pelajar berikutan kemunculan tren berkenaan di sebalik kabus tebal pada awal pagi sebelum menghilang di sepanjang landasan.
Namun, bagi para pelajar, tren berkenaan bukan lagi sesuatu yang misteri, sebaliknya menjadi nadi pengangkutan yang dinantikan setiap hari untuk ke sekolah.
Perkhidmatan itu turut memudahkan pelajar dari kawasan seperti Kuala Gris, Bukit Abu dan Ulu Temiang mendapatkan pengangkutan yang lebih teratur dan konsisten.
Sebelum ini, kebanyakan ibu bapa perlu menghantar anak ke sekolah menggunakan motosikal atau menumpang kenderaan jiran, selain berdepan kos minyak, keadaan cuaca dan tempoh perjalanan yang lebih panjang.
Bagaimanapun, selepas pas percuma untuk pelajar bagi tempoh setahun diperkenalkan pada 2023, perkhidmatan tren berkenaan membantu mengurangkan kos perjalanan harian keluarga, selain memberi ruang kepada pelajar untuk belajar berdikari.

