Siakap Keli
Nak Beli Peti Sejuk Baru? Elak Tersilap Dengan 6 Tip Ini
Gambar AI

Nak Beli Peti Sejuk Baru? Elak Tersilap Dengan 6 Tip Ini

Nak Beli Peti Sejuk Baru? Elak Tersilap Dengan 6 Tip Ini

Peti sejuk bukan sekadar pelengkap dapur moden malah ia adalah ‘jantung’ kepada pengurusan makanan harian di setiap rumah.

Daripada menyimpan bahan mentah, lebihan lauk-pauk dan makanan sejuk beku sehinggalah ke stok susu anak serta minuman kegemaran, peti sejuk memainkan peranan penting dalam kehidupan harian.

Ia sebenarnya berfungsi lebih daripada sekadar ruang sejuk semata-mata.

Malah, pemilihan model yang tepat boleh membantu anda menjimatkan ruang dapur, mengurangkan pembaziran makanan dan mengawal bil elektrik bulanan.

Namun, dengan pelbagai pilihan model, teknologi terkini dan rekaan menarik yang membanjiri pasaran ramai pembeli terperangkap antara gaya dan fungsi.

Ada yang tersalah beli terlalu kecil atau terlalu besar ada juga yang hanya tertarik pada harga tanpa memikirkan keperluan jangka panjang.

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk beli peti sejuk baru sama ada berpindah rumah atau menaik taraf kelengkapan dapur, panduan ini akan membantu anda untuk memilih dengan lebih yakin.

Berikut ialah 6 tip penting yang anda perlu tahu sebelum membuat pembelian.

1. Pilih saiz berdasarkan keperluan pengguna

Salah satu kesilapan yang paling biasa dilakukan semasa membeli peti sejuk ialah tidak mengambil kira jumlah penghuni rumah dan tahap penggunaan harian.

Peti sejuk yang terlalu kecil akan cepat padat dan menyebabkan makanan tidak tersusun dan mudah rosak. Sebaliknya, peti sejuk yang terlalu besar akan menggunakan lebih banyak elektrik jika tidak digunakan sepenuhnya.

Sebagai panduan umum, jika anda tinggal seorang diri atau berdua, kapasiti 150 hingga 250 liter sudah mencukupi. Untuk keluarga kecil antara tiga hingga empat orang kapasiti sekitar 300 hingga 450 liter adalah ideal.

Manakala bagi keluarga besar atau mereka yang gemar menyimpan stok makanan beku, pilih peti sejuk bersaiz 500 liter ke atas. Ingat, pilih saiz berdasarkan realiti penggunaan bukan semata-mata kerana promosi.

2. Kenali jenis peti sejuk yang sesuai dengan gaya hidup

Kini terdapat pelbagai jenis peti sejuk di pasaran dan setiap satu mempunyai fungsi serta kelebihan tersendiri. Peti sejuk jenis top freezer adalah rekaan klasik dengan peti beku di bahagian atas.

Ianya sesuai untuk kegunaan asas dan menjimatkan tenaga. Jika anda mahukan akses yang lebih mudah ke ruang sejuk utama, jenis bottom freezer mungkin lebih praktikal kerana makanan harian berada pada paras mata.

Model side-by-side pula menawarkan dua pintu memanjang dan sesuai untuk dapur yang luas serta pengguna yang mahukan ruang besar dan teratur.

Bagi mereka yang inginkan gaya dan fungsi dalam satu rekaan, peti sejuk French door iaitu peti sejuk yang mempunyai dua pintu di atas dan laci pembeku di bawah menjadi pilihan moden yang popular.

Sementara itu, mini fridge sesuai untuk bilik sewa, pejabat atau penggunaan ringan kerana saiznya yang kompak dan mudah dialihkan.

3. Utamakan model cekap tenaga dengan teknologi inverter

Peti sejuk biasanya beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Oleh itu, memilih model yang menjimatkan tenaga bukan sahaja mesra alam tetapi juga dapat menjimatkan bil elektrik dalam jangka masa yang panjang.

Pastikan anda memilih peti sejuk dengan label cekapan tenaga bintang empat atau lima daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Lebih baik lagi jika peti sejuk tersebut dilengkapi dengan teknologi Inverter yang mampu menyesuaikan kelajuan kompresor mengikut keperluan sebenar.

Ini menjadikan suhu lebih stabil, operasi lebih senyap dan penggunaan tenaga lebih efisien. Walaupun harga awal mungkin sedikit tinggi, penjimatan bil elektrik setiap bulan pasti membuatkan anda bersyukur dengan pilihan ini.

BACA : 7 Cara Untuk Cuci Kesan Kotoran Degil Pada Pakaian

4. Ciri tambahan yang buat hidup lebih mudah

Selain itu juga, jangan pandang ringan pada fungsi tambahan yang ditawarkan oleh sesetengah model peti sejuk. Fungsi No Frost misalnya membolehkan anda melupakan tugas mencairkan ais secara manual kerana ia menghalang pembentukan ais di ruang beku.

Rak yang boleh dilaras memberikan fleksibiliti untuk menyimpan barangan pelbagai saiz dari dulang kek sehingga ke bekas besar.

Beberapa model turut menyediakan laci sayur dan buah dengan kawalan kelembapan. Ianya dapay membantu mengekalkan kesegaran lebih lama.

Tambahan pula, ciri seperti penapis bau, sistem penyejukan antibakteria dan penggera pintu terbuka turut memberi nilai tambah yang ketara.

Untuk mereka yang mahukan keselesaan maksimum, peti sejuk dengan pembuat ais automatik atau dispenser air juga boleh dipertimbangkan. Namun pastikan ruang dan sambungan air adalah sesuai.

5. Ukur ruang dapur dan laluan masuk sebelum beli peti sejuk

Ramai orang teruja untuk membeli peti sejuk baru tanpa mengukur ruang sebenar di dapur. Ini boleh menyebabkan masalah semasa penghantaran atau pemasangan.

Oleh itu, pastikan anda mengambil ukuran lebar, tinggi dan kedalaman ruang dapur yang akan menempatkan peti sejuk. Ambil kira juga ruang di bahagian belakang dan sisi untuk pengudaraan yang baik.

Lebih penting lagi, pastikan peti sejuk boleh dibawa masuk ke dalam rumah anda. Terutamanya jika anda tinggal di apartment bertingkat atau rumah dengan pintu sempit.

Ukur laluan tangga, lif dan pintu masuk. Langkah kecil ini boleh mengelakkan situasi tidak dijangka pada hari penghantaran.

6. Bandingkan harga, jaminan dan servis lepas jualan

Harga murah tidak semestinya berbaloi jika jaminan terlalu singkat atau servis selepas jualan tidak memuaskan. Sebelum membeli, pastikan anda menyemak tempoh jaminan motor atau kompresor.

Kebanyakan jenama menawarkan jaminan antara 5 hingga 10 tahun. Ketahui juga di mana pusat servis terdekat dan sama ada alat ganti mudah didapati sekiranya berlaku kerosakan.

Pilih jenama yang mempunyai reputasi kukuh dan telah lama bertapak di pasaran. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran terlalu murah dari jenama yang tidak dikenali kerana kos penyelenggaraan jangka panjang mungkin lebih tinggi.

Sebagai kesimpulan, membeli peti sejuk baharu bukan keputusan yang boleh dibuat dalam sehari. Ia memerlukan pertimbangan menyeluruh dari aspek keperluan, saiz keluarga, gaya dapur, tahap penggunaan, penjimatan tenaga dan sokongan selepas jualan.

Peti sejuk yang tepat bukan sahaja memudahkan urusan dapur malah dapat membantu menjimatkan masa, wang dan tenaga anda.

BACA: Mesin Basuh Top Load vs Front Load – Mana Satu Sesuai

suhaila

live your best life

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.