Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Feri Bawa 65 Penumpang Karam Di Selat Bali, Empat Maut

Sofea
empat maut feri karam
Kredit: Kompas

Feri Bawa 65 Penumpang Karam Di Selat Bali, Empat Maut

Indonesia — Sekurang-kurangnya empat orang maut dan 38 orang masih hilang selepas sebuah feri yang membawa seramai 65 orang penumpang karam dalam perjalanan ke Pulau Bali, lapor AFP.

Perkara itu disahkan oleh ketua polis bandar Banyuwangi Jawa Timur, Rama Samtama Putra pada Khamis.

Menurutnya, jumlah mangsa yang terselamat setakat ini adalah seramai 23 orang.

Laporan sebelum ini memaklumkan 61 orang hilang di dalam kejadian terbabit manakala empat orang berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan bot penyelamat feri itu.

Menurut AFP, kapal KMP Tunu Pratama Jaya itu tenggelam sebelum tengah malam Rabu di Selat Bali ketika ia belayar ke destinasi percutian terkenal di Indonesia itu.

“KMP Tunu Pratama Jaya tenggelam kira-kira 25 minit selepas menimbang sauh. Feri itu membawa 53 penumpang dan 12 kru,” kata agensi mencari dan menyelamat Surabaya.

Tambah agensi itu, feri terbabit karam ketika dalam perjalanan dari Banyuwangi di timur Jawa ke pelabuhan di utara Bali. Namun, punca kejadian belum diketahui.

Pasukan dan bot penyelamat serta sebuah kapal besar telah dihantar serta-merta bagi membantu usaha mencari.

Agensi itu juga berkata feri tersebut juga mengangkut 22 kenderaan termasuk 14 trak.

BACA JUGA: Feri Penumpang Karam Di Pulau Jawa, 15 Penumpang Maut

Pasukan penyelamat memaklumkan mereka masih menilai sama ada terdapat lebih ramai lagi orang yang berada di atas feri itu.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang dalam perjalanan ke Arab Saudi mengarahkan usaha menyelamat dilakukan dengan segera.

Untuk pengetahuan, feri dari Jawa ke Bali mengambil masa sekitar satu jam dan sering digunakan oleh orang ramai yang menyeberang antara pulau dengan kereta.

Ini bukan kejadian pertama di Indonesia yang menyaksikan kapal, bot atau feri tenggelam. Pada Mac, sebuah bot yang membawa 16 orang terbalik di perairan bergelora di luar Bali. Kejadian itu menyaksikan dua orang terbunuh termasuk seorang wanita Australia.

Dalam pada itu, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di luar wilayah Nusa Tenggara Timur pada 2022 dan terperangkap selama dua hari. Bagaimanapun, semua penumpang berada dalam keadaan baik.

Sumber: AFP