Permit VEP Malaysia: Panduan Pendaftaran dan Siapa Terlibat
Bermula 1 Julai 2025, pemilik kenderaan berdaftar di luar negara yang ingin memasuki Malaysia melalui pintu sempadan darat diwajibkan untuk memohon Permit Kemasukan Kenderaan Asing atau VEP (Vehicle Entry Permit) secara dalam talian.
Permit ini kini menjadi satu keperluan mandatori yang perlu dipatuhi sebelum kenderaan asing dibenarkan memasuki negara.
Sistem ini bukan sahaja membantu pihak berkuasa mengawal kemasukan kenderaan asing, malah ia turut meningkatkan tahap keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam negara.
Apa itu VEP dan kenapa ia diperlukan?
VEP merupakan satu sistem pendaftaran khas yang dibangunkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk merekod dan menjejak kenderaan asing yang memasuki negara ini.
Dengan pelaksanaan sistem ini, pihak berkuasa dapat memantau pergerakan kenderaan asing serta memudahkan tindakan penguatkuasaan terhadap saman atau kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh kenderaan luar.
Lebih penting, sistem VEP bertindak sebagai mekanisme kawalan keselamatan serta memperkemas kemasukan pelancong atau pekerja asing yang memandu masuk menggunakan kenderaan peribadi mereka.
Siapa yang Perlu Mendaftar Permit VEP?
Secara umumnya, semua kenderaan yang berdaftar di luar Malaysia termasuk dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Brunei perlu mendaftar untuk mendapatkan VEP.
Permit ini wajib dimohon sebelum kenderaan dibenarkan memasuki Semenanjung Malaysia melalui pintu masuk darat.
Buat masa ini, penguatkuasaan penuh telah dikuatkuasakan ke atas kenderaan dari Singapura. Ia dijangka akan diperluaskan kepada negara-negara jiran lain dalam masa terdekat.
Permit VEP wajib dimohon oleh pelbagai kategori pemilik kenderaan asing yang ingin memasuki Malaysia. Kategori tersebut merangkumi:
- Kenderaan persendirian – Dimiliki oleh individu, syarikat atau pertubuhan untuk kegunaan bukan komersial.
- Kenderaan komersial – Digunakan oleh syarikat untuk tujuan perniagaan, seperti penghantaran atau logistik.
- Kenderaan diplomatik atau kerajaan – Termasuk kenderaan yang berdaftar atas nama kedutaan, konsulat atau agensi kerajaan asing.
Pemasangan Tag RFID VEP
Setiap kenderaan yang didaftarkan di bawah sistem VEP akan menerima tag RFID VEP khas. Tag ini mengandungi cip dan antena serta dicetak dengan nombor siri unik yang mengesahkan identiti kenderaan tersebut.
Antara ciri keselamatan utama tag ini termasuk:
- Menggunakan teknologi EPC Gen2v2 – Ia dilengkapi dengan protokol keselamatan moden bagi mengelakkan tag dipalsukan, digandakan atau digunakan oleh kenderaan lain. Teknologi ini juga membolehkan proses pengesahan identiti antara pembaca RFID dan tag itu sendiri.
- Reka bentuk tahan rosak dan tidak boleh ditanggalkan – Tag ini direka untuk ditampal pada bahagian luar lampu hadapan kenderaan. Sebaik sahaja dilekatkan, ia tidak boleh ditanggalkan atau digunakan semula, kerana sebarang percubaan untuk mencabut tag akan menyebabkan ia rosak dan tidak lagi berfungsi.
- Tidak boleh dipindah milik – Tag RFID ini dikhaskan untuk satu kenderaan sahaja dan mengandungi maklumat unik yang merujuk kepada kenderaan tersebut secara spesifik.
Cara pendaftaran VEP: Langkah demi langkah
- Proses pendaftaran VEP adalah mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi VEP JPJ.
- Klik pada bahagian “Sign Up” dan isikan maklumat yang diminta, kemudian tekan butang “Sign Up”.
- Seterusnya, log masuk menggunakan alamat emel dan kata laluan yang telah didaftarkan.
- Lengkapkan proses pendaftaran mengikut arahan yang diberikan hingga selesai.
Selepas permohonan diluluskan, pemilik kenderaan perlu hadir ke pusat pengambilan RFID (pelekat khas) yang setakat ini beralamat di TCSENS VCC, G Floor, Block 6, Danga Bay, Jalan Skudia, 80200 Johor Bharu, Johor.
Pelekat RFID ini akan ditampal pada cermin hadapan kenderaan dan wajib ditunjukkan semasa pemeriksaan di imigresen.
Berapa caj yang dikenakan?
Meskipun pendaftaran VEP itu sendiri adalah percuma, kenderaan asing yang memasuki Malaysia akan dikenakan caj harian sebanyak RM20.
Khususnya bagi laluan masuk dari Singapura. Caj ini perlu dibayar secara automatik melalui sistem eWallet yang dipautkan dengan RFID seperti Touch ‘n Go eWallet.
Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan urusan di sempadan malah memudahkan proses kutipan dan rekod transaksi masuk.
Tempoh sah dan implikasi jika gagal daftar
Satu perkara penting yang perlu diketahui ialah, VEP hanya sah untuk tempoh lima (5) tahun. Selepas itu, pemilik perlu memperbaharui permit bagi memastikan kenderaan mereka terus dibenarkan masuk ke Malaysia.
Sekiranya kenderaan tidak mempunyai permit VEP yang sah atau tiada pelekat RFID dipasang, ia tidak akan dibenarkan melepasi sempadan. Malah, kenderaan boleh dikenakan denda atau saman dan pemilik mungkin terpaksa berpatah balik.
Oleh itu, dengan pelaksanaan sistem VEP ini Malaysia telahpun mengambil satu langkah ke hadapan dalam pengurusan kemasukan kenderaan asing secara lebih sistematik dan selamat.
Bagi mereka yang kerap berulang-alik dari negara jiran menggunakan kenderaan sendiri, adalah amat penting untuk memastikan VEP telah didaftarkan dan RFID telah dipasang.
BACA : 6 Negara “Visa-Free” Tapi Ada Borang Wajib Untuk Orang Malaysia