Bapa, Anak Maut Dalam Kemalangan Di Tangkak
JOHOR BAHRU, 5 Julai (Bernama) — Seorang bapa dan anak lelakinya maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 2.5 Jalan Sialang di Tangkak semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata mangsa berusia 52 tahun dan anaknya tujuh tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian pada 8.10 malam itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki berusia 27 tahun yang memandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Roslan pada masa sama meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul di talian 011-1244 5836 bagi membantu siasatan.
BACA: Penceramah Bebas Disiasat Kes Sebar Video Seks Isteri
Sumber: BERNAMA