Gunung Lewatobi Laki-Laki Meletus Lagi, Hembur Abu Setinggi 18KM
Gunung Lewatobi Laki-laki dilapor meletus sekali lagi hari ini, menghembur abu yang boleh kelihatan sehingga ketinggian 18km di udara.
Berketinggian kira-kira 1,584 meter, gunung berkenaan yang terletak di kawasan tumpuan pelancong di Pulau Flores meletus kira-kira pukul 11.05 pagi (waktu tempatan) pada Isnin.
Insiden terbaru itu berlaku selang beberapa minggu selepas letusan dari gunung yang sama menyebabkan berdozen-dozen penerbangan keluar dan masuk ke Pulau Bali terpaksa dibatalkan.
Setakat ini, tiada laporan berhubung sebarang kerosakan atau kecederaan berlaku akibat letusan terbaharu itu.
Menurut AFP, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia turut mengeluarkan amaran potensi banjir lahar berbahaya boleh berlaku sekiranya hujan lebat turun di kawasan itu.
Ketua Pusat PVMB, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan berkata, aktiviti gunung berapi berkenaan berada pada tahap sangat tinggi, dicirikan dengan letusan-letusan meletup dan gegaran berterusan.
Beliau turut menyeru penduduk untuk menjauhkan diri daripada Gunung Lewatobi Laki-laki pada jarak sekurang-kurangnya enam kilometer dan memakai pelitup muka.
Letusan pada bulan lepas jejaskan aktiviti pelancongan di Pulau Bali
Menurut AFP, berdozen-dozen penerbangan di Pulau Bali terjejas selepas gunung berkenaan meletus pada bulan lepas, termasuk menghemburkan abu yang menimpa beberapa komuniti berdekatan.
Sekurang-kurangnya satu kampung diarahkan berpindah dalam kejadian yang sama.
Manakala pada November tahun lalu, gunung tersebut yang meletus beberapa kali turut menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan puluhan ribu terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.
Mengenai Gunung Lewatobi Laki-laki
Gunung Lewatobi Laki-laki mempunyai kembar iaitu Gunung Lewatobi Perempuan (1,703 meter) dimana kedua-duanya terpisah pada jarak kurang daripada 2 kilometer.
Penduduk tempatan menganggap kedua-dua gunung berkenaan sebagai simbolik kepada hubungan suami isteri dan manifestasi keharmonian antara alam dengan manusia.
BACA: Lebih 30 Tahun Mengajar, Cikgu Terima Gaji RM91 Sebulan & Dibayar Tiga Bulan Sekali
Sumber: AFP