RSV menyebabkan peningkatan kemasukan bayi ke Unit Rawatan Rapi dan merupakan ancaman kesihatan kepada warga emas. Doktor dan ibu bapa menyeru untuk kita bertindak sekarang.
KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025 – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, virus pernafasan menjadi kebimbangan dalam kalangan isi rumah. Namun, satu jangkitan yang diam-diam menular dan sangat kerap berlaku masih disalah faham oleh kebanyakan orang: iaitu Virus Respiratori Sinsitial, atau RSV.
RSV yang sering dianggap sebagai selesema bermusim sebenarnya merupakan salah satu punca utama penyakit pernafasan yang serius, kemasukan ke hospital, dan kematian dalam kalangan bayi berumur bawah enam bulan serta warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
Setiap tahun di peringkat global, RSV menyebabkan lebih 33 juta jangkitan pada saluran pernafasan bawah dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3.6 juta kes memerlukan rawatan di hospital, manakala hampir 100,000 kes mengakibatkan kematian. Dalam kalangan warga emas, terutamanya mereka yang menghidap penyakit diabetes, asma atau masalah jantung, RSV boleh memburukkan keadaan kesihatan sedia ada dan menyebabkan komplikasi serius yang menyerupai atau memburukkan lagi keadaan pneumonia serta penyakit paru-paru kronik.
Walaupun beban globalnya besar, RSV sering kali tidak diberi perhatian. Kebanyakan ibu bapa dan penjaga tidak pernah mendengar tentang virus ini — sehinggalah orang tersayang mereka dimasukkan ke hospital.
“Kami pernah melihat bayi yang sihat sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hanya dalam beberapa hari disebabkan RSV,” kata Dr. Gan Chin Seng, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Intensif Pediatrik. “Salah satu perkara yang paling sukar pernah saya alami ialah melihat seorang bayi bertarung untuk bernafas, manakala ibu bapanya hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Ia amat menyayat hati, dan situasi ini telah saya saksikan berkali-kali.”
Di Malaysia, jangkitan RSV berlaku sepanjang tahun namun lazimnya memuncak pada musim monsun, iaitu antara bulan Ogos hingga Januari. Setiap tahun pada musim hujan, Dr. Gan dan pasukannya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik merawat gelombang pesakit pediatrik yang menghadapi kesukaran untuk bernafas. Ramai dalam kalangan mereka hanyalah bayi berusia beberapa minggu dan memerlukan alat bantuan pernafasan mekanikal untuk terus hidup.
Melindungi Bayi Sebelum Nafas Pertama
Bagi Dr. Gayathri Mariappa, ancaman RSV menjadi suatu pengalaman yang amat peribadi dan menyakitkan apabila anak lelakinya sendiri jatuh sakit pada usia hanya empat bulan.
“Saya masih ingat ketakutan yang menyelubungi hati saya,” kata Dr. Gayathri, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi yang memiliki kepakaran dalam Perubatan Janin Ibu. “Walaupun saya seorang doktor, tiada apa yang dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi perasaan tidak berdaya apabila melihat anak sendiri sukar bernafas dan memerlukan bantuan oksigen serta rawatan nebulisasi. Detik itu telah mengubah sepenuhnya cara saya berbincang dengan pesakit mengenai langkah pencegahan.”
Sejak itu, Dr. Gayathri telah berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu hamil mengenai RSV dan kepentingan perlindungan awal melalui penjagaan kesihatan ibu. Beliau menjelaskan bahawa sesetengah vaksin yang diberikan semasa kehamilan dapat menyalurkan antibodi pelindung kepada bayi. Pemindahan semula jadi ini memberikan perlindungan yang amat penting untuk beberapa bulan pertama kehidupan, iaitu ketika bayi berada dalam keadaan paling berisiko dan masih terlalu muda untuk menerima vaksin mereka sendiri.
“Imunisasi untuk ibu hamil membentuk perisai pelindung untuk bayi anda,” katanya. “Ia umpama menyelimuti mereka dengan selimut yang tidak kelihatan, yang melindungi mereka daripada jangkitan yang mengancam nyawa sebelum mereka menghela nafas pertama.”
Di Malaysia, ibu hamil sememangnya digalakkan untuk menerima vaksin seperti tetanus, influenza dan pertusis. Vaksin ini terbukti dapat memberikan perlindungan kepada ibu serta anaknya. Walaupun imunisasi khusus terhadap RSV semasa kehamilan masih belum diamalkan secara rutin di negara ini, pakar kesihatan global sedang giat mengkaji potensinya.
“Setiap ibu pastinya mahu memberikan permulaan hidup yang terbaik kepada anak mereka,” kata Dr. Gayathri. “Dan dalam banyak keadaan, permulaan itu bermula dengan langkah pencegahan penyakit.”
Beban Emosi dan Kewangan Akibat RSV
Di sebalik statistik klinikal, RSV memberikan kesan yang besar dari segi emosi dan kewangan terhadap sesebuah keluarga.
Kajian BRICK dari Netherlands, yang merupakan antara usaha penyelidikan RSV peringkat antarabangsa yang paling komprehensif, mendapati bahawa hampir 30 peratus ibu bapa yang anak mereka dimasukkan ke hospital akibat RSV menunjukkan tanda-tanda tekanan pascatrauma. Keluarga turut berdepan dengan kehilangan pendapatan akibat pengambilan cuti kerja, bil hospital yang tinggi, serta tekanan emosi apabila melihat anak atau ahli keluarga warga emas bergantung kepada bantuan hayat.
Di Malaysia, keadaannya adalah serupa. Ramai ibu bapa menghabiskan hari-hari penuh kebimbangan di sisi katil anak mereka, sambil mencuba untuk memahami bagaimana satu virus yang tidak pernah didengari boleh mengubah kehidupan mereka secara menyeluruh.
“Jika kita dapat mencegah walaupun satu keluarga daripada mengalami apa yang telah dilalui oleh keluarga saya, segala usaha ini amat berbaloi,” kata Dr. Gayathri sambil mengenang pengalamannya sendiri sebagai seorang ibu dan juga seorang doktor.
Daripada Cucu Hingga ke Datuk dan Nenek: Risiko yang Dikongsi
Walaupun RSV sering dikaitkan dengan kanak-kanak, kesannya terhadap golongan warga emas juga amat membimbangkan. Warga emas yang menghidap penyakit sedia ada seperti diabetes, penyakit jantung, atau penyakit paru-paru kronik adalah antara golongan yang paling berisiko. Kebimbangan ini menjadi lebih ketara di Malaysia, apabila lebih daripada setengah juta dewasa didapati mempunyai empat atau lebih penyakit kronik, menurut National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023. Bagi golongan ini, jangkitan RSV yang ringan juga boleh menyebabkan komplikasi serius dan kemasukan ke hospital.
Ramai pesakit warga emas yang dijangkiti RSV mungkin tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami penyakit yang serius. Gejala seperti keletihan, demam ringan dan kekeliruan sering menyerupai simptom penyakit biasa yang lain atau dianggap sebagai tanda penuaan. Akibatnya, jangkitan RSV sering tidak dikesan sehinggalah keadaan menjadi lebih teruk dan komplikasi seperti pneumonia atau kegagalan jantung berlaku.
“Kebiasaannya, warga emas memandang ringan gejala awal,” kata Dr. Gan. “Malangnya, apabila mereka mendapatkan rawatan, keadaan mereka selalunya jauh lebih serius daripada apa yang mereka sangkakan.”
Masalah ini menjadi lebih rumit oleh sebab amalan tinggal bersama dalam kediaman pelbagai generasi yang merupakan perkara biasa di Malaysia. Apabila bayi serta datuk dan nenek tinggal di bawah satu bumbung, risiko penularan jangkitan meningkat. Semasa tempoh berpantang atau perhimpunan perayaan, batuk ringan daripada seorang ahli keluarga sahaja boleh mencetuskan rantaian jangkitan yang memberi kesan kepada ahli keluarga yang paling berisiko.
“Atas sebab inilah, perlindungan terhadap RSV dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam sesebuah keluarga,” jelas Dr. Gayathri. “Apabila seorang ibu hamil dilindungi, bayi dalam kandungan turut mendapat perlindungan. Apabila seorang datuk atau nenek dilindungi, mereka turut membantu melindungi seluruh isi rumah. Ia adalah tentang kepentingan saling menjaga antara satu sama lain merentas generasi.”
Para petugas kesihatan menggalakkan ibu hamil untuk berbincang dengan doktor masing-masing tentang imunisasi semasa kehamilan. Perbincangan ini ketika rutin lawatan antenatal boleh memberikan impak yang besar. Dalam masa yang sama, anak-anak dewasa juga digesa untuk memastikan ibu bapa mereka yang lanjut usia menerima vaksin pernafasan yang terkini, khususnya semasa musim hujan.
Pengesanan awal jangkitan RSV adalah aspek yang penting juga. Gejala yang dikenal pasti dalam kalangan bayi dan warga emas adalah batuk, berdehit, kesukaran bernafas, keletihan, dan kurang selera makan. Bagi warga emas, tanda-tanda seperti kekeliruan atau keletihan yang luar biasa juga perlu diberikan perhatian yang serius.
Tatkala Malaysia menghadapi satu lagi musim jangkitan RSV, komuniti perubatan tampil bersatu menggesa agar tindakan segera diambil: Janganlah kita menunggu sehingga ada lagi bayi yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, atau datuk dan nenek yang sukar bernafas. Setiap hela nafas amat bermakna — daripada nafas pertama anak anda sehingga nafas seterusnya daripada ibu bapa anda.
“Vaksinasi bukan hanya untuk mereka yang sedang sakit,” kata Dr. Gan. “Ia juga adalah untuk mereka yang sihat dan ingin kekal sihat. Bagi golongan yang paling berisiko, pencegahan membawa ketenangan fikiran.”