Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perumpamaan Malaikat: Zahid Hamidi Akui Khilaf, Mohon Maaf Kepada Semua
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan penularan sebuah video yang memetik kenyataannya menyentuh perumpamaan tentang malaikat.
Menurut beliau, ucapan tersebut dibuat dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan yang dihadapinya sebagai pemimpin parti.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa perumpamaan itu boleh menimbulkan kekeliruan dan disalah tafsir oleh orang ramai.
“Beberapa hari ini, telah tular sebuah video yang mengaitkan ucapan saya menyatakan satu perumpamaan tentang malaikat yang diungkapkan dalam konteks tekanan yang saya hadapi ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO,” kata Zahid.
Zahid menjelaskan bahawa kenyataan tersebut lahir daripada usaha menggambarkan betapa beratnya cabaran memimpin, namun beliau menginsafi kesilapan tersebut dan tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, khususnya umat Islam.
“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa teguran daripada masyarakat diterima dengan hati terbuka, dan menzahirkan komitmen untuk terus memperbaiki diri sebagai pemimpin.
“Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan.
“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” tambahnya lagi.
BACA: Amerika Syarikat Kenakan Tarif 25 Peratus Ke Atas Semua Produk Malaysia
BACA: Malaysia Komited Teruskan Libat Urus Bersama AS Demi Perjanjian Perdagangan Yang Seimbang, Saling Menguntungkan
BACA: Trump Sedia Tangguh Lagi Tarif Import
Sumber: Zahid Hamidi/FB