Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Projek ECRL: Terowong Genting Terpanjang Di Asia Tenggara
BENTONG — Malaysia hari ini mencatat sejarah baharu apabila berjaya melaksanakan penembusan Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Bentong, Pahang, lapor RTM.
Difahamkan, pelaksanaan terowong ini bakal menjadikan negara sebagai pemegang rekod terowong rel terpanjang di Asia Tenggara sebaik sahaja siap sepenuhnya.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kerja-kerja pengorekan kesemua 41 terowong sepanjang jajaran ECRL sejauh 665 kilometer bakal menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Tambahnya, pelaksanaan projek ini bagi memastikan operasi ECRL dapat kekal beroperasi walaupun ketika musim tengkujuh, sekali gus membuktikan keupayaan teknologi dan kejuruteraan tempatan serta antarabangsa.
“Dengan pembinaan terowong dan laluan bertingkat di lokasi strategik, reka bentuk geometri randasan ECRL membolehkan tren penumpang mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.
“Manakala tren gagul pula mampu bergerak pada kelajuan 80 kilometer sejam. Kejuruteraan ini juga memastikan operasi ECRL kekal lancar walaupun ketika hujan lebat dan banjir pada musim tengkujuh, khususnya di kawasan Pantai Timur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penembusan Terowong Genting Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Mengulas lebih lanjut, projek pengorekan terowong ini juga menggunakan teknologi Tunnel Boring Machine (TBM) gergasi seberat 1,600 tan yang direka khas.
Perkara ini mengambil kira faktor keadaan batuan keras Banjaran Titiwangsa, menjadikannya antara terbesar pernah digunakan bagi pembinaan terowong rel di Malaysia.
Dalam yang sama, inisiatif ini juga menyaksikan kawasan hutan yang diteroka berjaya dikurangkan daripada anggaran asal 2,000 hektar kepada sekitar 276 hektar.
Projek mega ini dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan bakal memendekkan tempoh perjalanan dari Kota Bharu dan Kuala Lumpur sekitar empat jam sahaja.
Secara tidak langsung, ia menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi Pantai Timur.
Sumber: RTM