Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KPT Pantau Aktiviti Gerakan Militan Di IPT – Zambry
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau rapi sebarang aktiviti berkaitan gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis Islamic State (IS) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Menterinya Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata langkah itu susulan penahanan beberapa individu dalam kalangan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat dengan fahaman tersebut, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), baru-baru ini.
“Kita sentiasa menjalankan pemantauan dengan kerjasama pihak keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan fahaman-fahaman ekstrem seperti ini tidak menular, sama ada dari dalam atau luar negara.
“Kerjasama antara KPT dan agensi keselamatan sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa Tahun 2025, di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam rangkaian militan melibatkan warga Bangladesh seperti yang didedahkan baru-baru ini.
Beliau berkata hasil siasatan oleh Pasukan Cawangan Khas PDRM mendapati kumpulan yang menyebarkan fahaman ekstrem berasaskan ideologi IS ke Malaysia hanya melibatkan warga Bangladesh.
Saifuddin Nasution juga dilaporkan berkata penahanan 36 warga Bangladesh itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di Selangor dan Johor, bermula 24 April lepas.
BACA: KPM Ambil Tanggungjawab Penuh, Pantau Psiko Emosional Dan Kebajikan Putri Qisya
BACA: Bayi Lelaki Baharu Dilahirkan Ditinggalkan Di Bahu Jalan
BACA: KKM Komited Kekal Tenaga Perubatan Berkhidmat Dalam Negara, Percepat Lantikan Tetap
Sumber: BERNAMA